Enam Sekeluarga Ditemui Berpelukan Dalam Kereta Tenggelam di Sungai Korok

Enam Sekeluarga Ditemui Berpelukan Dalam Kereta Tenggelam di Sungai Korok

Enam sekeluarga yang ditemui mati dalam sebuah kereta yang tenggelam di Sungai Korok dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi gagal, apabila kesemua mayat dijumpai berpelukan di bahagian belakang kenderaan.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, dua orang dewasa, tiga kanak-kanak dan seorang bayi berusia enam bulan ditemui di bahagian belakang dan kiri Proton Iswara tersebut.

Mereka dipercayai cuba keluar dari kenderaan itu, namun tidak berjaya. Tiada cermin yang pecah semasa kenderaan dijumpai dan semua kerosakan pada cermin dilakukan oleh pasukan penyelamat semasa operasi menyelamat, lapor New Straits Times.

Polis mengesahkan identiti mangsa sebagai pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak (32) dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi (31), serta empat anak mereka — Putra Rayyan Nur (9), Hawa Adriana Nur (8), Annayla Humaira Nur (7), dan Tuah Haydar (6 bulan).

Ahmad Aminuddin memaklumkan bahawa pihak bomba menerima maklumat berhubung sebuah kereta yang menyerupai kenderaan milik keluarga yang dilaporkan hilang dan kesnya tular di media sosial. Keluarga itu dilaporkan hilang oleh saudara mereka selepas tidak pulang dari lawatan ke Taman Aman, Jitra pada hari Sabtu lalu.

Sebuah pasukan rondaan kemudian menemui kereta tenggelam di Sungai Korok yang berkedalaman kira-kira enam meter dan selebar 25 kaki. Kenderaan itu berada hanya satu meter dari tebing sungai. Setelah ditarik keluar, bomba mengesahkan keenam-enam mayat berada di dalam kenderaan.

Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Oleh kerana kereta itu telah berada di dalam air hampir dua hari, mayat mangsa membengkak dan sukar untuk dikeluarkan melalui pintu. Pasukan penyelamat terpaksa memecahkan cermin belakang dan memotong bahagian kereta untuk mengeluarkan mangsa dengan selamat.

Terdapat kesan tayar atau jejak tergelincir di kawasan berhampiran sungai yang menunjukkan kereta itu mungkin terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai. Kejadian tragik ini berlaku beberapa hari selepas adik pemandu membuat laporan polis mengenai kehilangan keluarga tersebut.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD