NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Remaja Perempuan Tunggang Motosikal Lawan Arus Serah Diri kepada Polis

Remaja Perempuan Tunggang Motosikal Lawan Arus Serah Diri kepada Polis

Seorang remaja perempuan yang tular kerana menunggang motosikal secara melawan arus sambil menggunakan telefon bimbit di Kilometer 38, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung pada 4 Julai lalu, telah menyerah diri kepada pihak polis malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad memaklumkan bahawa remaja tersebut hadir ke Balai Polis Trafik Daerah Kota Setar sekitar jam 9 malam untuk memberi kerjasama siasatan.

Menurut beliau, remaja itu mendakwa tersilap memasuki laluan bertentangan kerana bergantung kepada navigasi telefon bimbitnya ketika dalam perjalanan pulang ke Pendang.

“Remaja tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini bagi permohonan tahanan reman,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan.

Siti Nor Salawati turut menegaskan agar orang awam sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan tidak mengabaikan aspek keselamatan ketika memandu atau menunggang kenderaan.

“Tindakan melulu seperti dalam video tular tersebut bukan sahaja mengundang bahaya kepada diri sendiri, malah turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” tegasnya.

SUMBER : HarianMetro

Hanani Nezam

Memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh dalam bidang Komunikasi Massa dari UiTM, Hanani Nezam adalah seorang penulis automotif gaya hidup yang dinamik. Teras penulisan beliau memfokuskan kepada garapan berita industri permotoran yang segar, pantas, dan relevan untuk komuniti automotif generasi baharu.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy