MOT Lantik Syarikat Pemeriksaan Kenderaan Tambahan, Tangani Isu Kesesakan di Puspakom

MOT Lantik Syarikat Pemeriksaan Kenderaan Tambahan, Tangani Isu Kesesakan di Puspakom

Kementerian Pengangkutan (MOT) telah melantik pusat pemeriksaan kenderaan tambahan bagi tujuan pemeriksaan pertukaran hak milik kenderaan persendirian, bagi mengurangkan kesesakan di cawangan Puspakom sedia ada.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperluas perkhidmatan pemeriksaan kenderaan sambil menangani isu kesesakan di pusat yang turut menjalankan pemeriksaan kenderaan komersial.

Pada fasa pertama, tujuh syarikat ditawarkan peluang untuk menyertai inisiatif ini, namun hanya empat yang menerima tawaran dan menerima surat pelantikan, iaitu Carro Technology, Carsome Academy, Wawasan Bintang dan Beriman Gold, menurut laporan New Straits Times.

Pelantikan ini dibuat secara bersyarat, di mana syarikat perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Garis Panduan Lesen Pusat Pemeriksaan Kenderaan bagi Pertukaran Hak Milik Kenderaan Persendirian (M.V.15) sebelum dibenarkan beroperasi. Antara syaratnya ialah syarikat mestilah milik tempatan, berstatus syarikat sendirian berhad dan mempunyai modal berbayar sekurang-kurangnya RM1 juta.

Syarikat juga perlu mencadangkan lokasi yang sesuai (dengan kelulusan Kementerian dan JPJ), menyediakan kemudahan dan peralatan pemeriksaan yang diiktiraf, berhubung dengan sistem MySIKAP, dan memastikan pemeriksa kenderaan mereka diperakui oleh JPJ.

Jika syarikat tersebut menjalankan perniagaan jual beli kereta terpakai, mereka wajib menyediakan lorong khas untuk pemeriksaan M.V.15 dan mematuhi piawaian badan pemeriksa ISO/IEC 17020:2012.

Kelulusan bersyarat ini sah untuk tempoh 12 bulan, dan dalam tempoh itu syarikat mesti melengkapkan semua syarat teknikal dan perundangan sebelum dibenarkan beroperasi. Ada syarikat yang mungkin boleh bersedia dalam masa tiga bulan.

Loke menjelaskan bahawa JPJ akan memantau sepanjang tempoh ini dan lesen operasi hanya akan dikeluarkan selepas semua syarat dipenuhi. Langkah ini juga menandakan peralihan daripada sistem konsesi tunggal kepada sistem pelbagai lesen bagi perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.

Tambah beliau, peluasan pusat pemeriksaan ini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta keselamatan pengguna jalan raya. Malah, pusat tersebut tidak semestinya besar—premis sedia ada seperti lot kedai pun boleh digunakan, dan kebanyakan syarikat yang dilantik telah pun memiliki kemudahan sebegini.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD