Honda Malaysia hari ini secara rasmi telah melancarkan Honda HR-V Facelift 2025 ke dalam pasaran Malaysia. 4 varian masih ditawarkan pada harga bermula RM115,900 (S), RM130,900 (E), RM137,900 (V) dan RM143,900 (e:HEV RS). Semua harga ini adalah atas jalan dan tidak termasuk insurans lagi.
“HR-V baharu ialah evolusi berani SUV kegemaran rakyat Malaysia yang menggabungkan gaya, inovasi dan praktikaliti. Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, lebih 170,000 unit telah terjual dan HR-V kini menguasai 41% pasaran segmen B bukan nasional,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Encik Narushi Yazaki.
HR-V baharu tampil dengan gril hadapan baharu, lampu utama LED penuh bersama lampu membelok aktif (e:HEV RS) dan jalur lampu belakang LED yang menyerlah. Semua varian kini menggunakan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci. Bagi varian e:HEV RS, ia hadir dengan pakej rekaan sporty RS yang lebih garang.

Bahagian dalamannya juga diberi sentuhan kemas dan praktikal. Varian e:HEV RS menampilkan tempat duduk sporty dengan logo RS, konsol tengah baharu lengkap dengan pengecas tanpa wayar, serta skrin terapung bersaiz 8 inci untuk kawalan lebih mudah.

Semua varian turut dilengkapi dengan sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto, serta port USB-C di depan dan belakang. Sistem Pengaliran Udara Honda memastikan pengedaran udara yang lebih seimbang dan selesa. Walaupun bersaiz kompak, HR-V baharu menawarkan ruang dalaman yang luas dan fleksibel, setanding dengan SUV segmen lebih tinggi.

Dari segi prestasi, HR-V baharu menawarkan tiga pilihan enjin. Enjin 1.5L i-VTEC menghasilkan 121 PS, sesuai untuk pemanduan harian. Enjin 1.5L VTEC Turbo pula menawarkan 181 PS untuk prestasi yang lebih bertenaga. Manakala enjin hibrid 1.5L e:HEV memberikan prestasi lancar dan jimat minyak, dengan peralihan automatik antara mod elektrik, hibrid dan petrol.

Tiga mod pemanduan disediakan — ECON, Normal, dan Sport — membolehkan pemandu memilih gaya pemanduan mengikut keperluan. Sama ada di jalan bandar atau lebuh raya, HR-V memberikan pemanduan yang lancar dan menyeronokkan, dengan keseimbangan prestasi dan kecekapan bahan api.
Semua varian kini dilengkapi dengan sistem keselamatan Honda SENSING secara standard yang merangkumi pelbagai teknologi bantuan pemandu pintar. Kini ia turut dipertingkatkan dengan fungsi Adaptive Driving Beam dan Active Cornering Light, menjadikan HR-V lebih selamat dan canggih. Honda CONNECT juga kini diperluas kepada varian S dan E, membolehkan lebih ramai pengguna menikmati ciri sambungan pintar.
HR-V Baharu kini ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu Phoenix Orange Pearl dan Crystal Black Pearl, bersama pilihan sedia ada seperti Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic dan Stellar Diamond Pearl.
Semua varian menerima waranti 5 tahun tanpa had perbatuan, serta diberikan 5 kali servis percuma kos buruh (100,000 km atau lima tahun). Manakala bagi bateri hibrid varian RS e:HEV, ia menerima waranti selama 8 tahun tanpa had perbatuan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?