NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Kerajaan Tangguh Subsidi Bersasar RON95 Bagi Perhalusi Mekanisme

Kerajaan Tangguh Subsidi Bersasar RON95 Bagi Perhalusi Mekanisme

Kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan subsidi bersasar bagi petrol RON95 yang sebelum ini dijadualkan bermula pada separuh kedua tahun ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata penangguhan itu bagi memberi ruang kepada kerajaan memperhalusi mekanisme pelaksanaan agar tidak berlaku ketirisan dan bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan perkara ini kepada Ahli Parlimen Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dalam satu pertemuan baru-baru ini.

“Perdana Menteri mahu memastikan majoriti rakyat tidak terkesan secara negatif akibat pelaksanaan dasar tersebut. Oleh itu, mekanisme subsidi sedang diperhalusi dengan teliti, yang menyebabkan sedikit kelewatan dalam pelaksanaannya,” jelas Fahmi dalam sidang media mingguan beliau.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memaklumkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 akan dilakukan secara berperingkat dalam tahun ini, namun tanpa menetapkan tarikh khusus.

Pada 1 Julai lalu, beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang bekerjasama dengan pengusaha stesen minyak bagi menaik taraf sistem sedia ada. Langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan subsidi bersasar tidak menyebabkan gangguan atau kesesakan ketika urusan pengisian petrol.

Kerajaan sebelum ini menegaskan bahawa reformasi subsidi bahan api perlu dilakukan secara berhemah dan berperingkat bagi memastikan kecekapan fiskal negara tidak mengorbankan kesejahteraan rakyat.

SUMBER : MalaysiaGazette

Hanani Nezam

Memiliki latar belakang pendidikan yang kukuh dalam bidang Komunikasi Massa dari UiTM, Hanani Nezam adalah seorang penulis automotif gaya hidup yang dinamik. Teras penulisan beliau memfokuskan kepada garapan berita industri permotoran yang segar, pantas, dan relevan untuk komuniti automotif generasi baharu.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy