inDrive Kini Terima Kelulusan dari MOT dan APAD untuk Terus Beroperasi di Malaysia

inDrive Kini Terima Kelulusan dari MOT dan APAD untuk Terus Beroperasi di Malaysia

Platform e-hailing inDrive, telah menerima kelulusan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasinya di Malaysia selepas proses semakan selesai.

Dalam sidang media yang diadakan, inDrive menegaskan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan terus menyediakan perkhidmatan e-hailing yang adil, mudah diakses dan patuh kepada peraturan di seluruh negara.

Pihak syarikat juga menyatakan bahawa semua pemandu dalam platformnya mesti memiliki Permit Kenderaan E-Hailing (EVP), Lesen PSV dan insurans e-hailing yang sah.

Semua dokumen pemandu perlu disahkan sebelum dibenarkan beroperasi. inDrive juga telah memperkukuh sistem semakan dalaman dan bekerjasama dengan APAD untuk meningkatkan pematuhan mereka.

Govin Kumaar, Ketua inDrive Malaysia, mengucapkan terima kasih kepada Kementerian dan APAD atas kelulusan ini, sambil menegaskan komitmen syarikat untuk terus mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. Yang lebih penting, ini membolehkan ribuan pemandu tempatan terus menjana pendapatan.

Beliau turut menyatakan bahawa inDrive mengenakan kadar komisen antara terendah dalam industri iaitu hanya 10%-15%, jadi pemandu boleh menyimpan 85%-90% daripada pendapatan mereka untuk menyara keluarga.

Dengan model unik di mana tambang ditentukan bersama oleh pemandu dan penumpang, serta yuran platform yang rendah, inDrive kini beroperasi di 47 negara dan telah menjadi penyelamat buat ramai pemandu. Semua pemandu juga diwajibkan mempunyai lesen dan insurans yang sah.

Selepas menerima kelulusan ini, inDrive kini fokus untuk mengukuhkan lagi kehadirannya di Malaysia. Antara usaha yang akan dilakukan termasuk memperkemas proses pendaftaran dan pengesahan pemandu, memperbaiki sokongan kepada pemandu, serta memastikan perkhidmatan kepada penumpang lebih konsisten. inDrive juga menyediakan modul pembelajaran atas talian melalui inDrive Academy untuk membantu pemandu meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Ke hadapan, inDrive merancang untuk melancarkan inisiatif baharu untuk meningkatkan akses pengangkutan kepada golongan orang kurang upaya (OKU), selaras dengan prinsip mereka bahawa semua orang berhak mendapat peluang yang sama. Inisiatif ini akan disertai dengan ciri tambahan dan penglibatan komuniti yang lebih aktif.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD