Chery O5 Kini Dilancarkan di Malaysia – Facelift Omoda 5, DCT, Varian Tunggal, Harga RM117k

Chery O5 Kini Dilancarkan di Malaysia – Facelift Omoda 5, DCT, Varian Tunggal, Harga RM117k

Chery Malaysia telah melancarkan model Chery O5, versi facelift kepada Omoda 5 ke dalam pasaran Malaysia. Model ini hadir sebagai satu varian tunggal yang lebih diperkemas dari segi rupa, teknikal dan pakej selepas jualan dengan tanda harga diletakkan pada RM116,800 (atas jalan tanpa insurans).

Model ini sebelum ini dikenali sebagai OMODA 5 dan berjaya mencatatkan lebih 13,000 unit jualan di Malaysia sejak 2023. Kini, ia tampil dengan identiti baharu sebagai Chery O5, namun tetap mengekalkan popularitinya.

Dengan ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,588 mm dan jarak roda 2,630 mm, Chery O5 menawarkan ruang dalaman yang luas untuk penumpang dan kargo. Ruang butnya berkapasiti 442 liter, cukup untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jauh.

Di bawah hud, Chery O5 kini dikuasakan oleh enjin turbo 1.5 liter dengan 156 PS dan 230 Nm tork, dipadankan bersama transmisi DCT 6-kelajuan (6DCT) baharu untuk penukaran gear yang lebih pantas dan kapasiti tork lebih tinggi.

Antara keistimewaan utama ialah penggunaan Suspensi Belakang Bebas Multi-Link, satu-satunya dalam kelasnya. Peningkatan daripada sistem torsion beam sebelum ini memberikan keselesaan pemanduan lebih halus, kawalan lebih stabil serta prestasi lebih baik ketika mengambil selekoh. Ia juga menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport, berbanding hanya dua sebelum ini.

Bahagian hadapan menampilkan Pixel Diamond Front Grille bersama bampar berbentuk X, dipadankan dengan lampu siang LED berbentuk anak panah serta isyarat membelok sekuensial. Rim aloi hitam sporty 18 inci menambah karakter agresif, manakala rekaan spoiler baharu bukan sahaja meningkatkan aerodinamik, tetapi turut memberi sentuhan lebih segar dan bertenaga.

Bahagian dalaman menawarkan paparan skrin berkembar 20.5 inci, cermin pandang belakang tanpa bingkai serta cermin solek dengan lampu suhu dwi-warna. Ciri keselesaan termasuk kerusi depan berpengudaraan, tempat duduk pemandu boleh laras elektrik 6-hala dan penumpang depan 4-hala, pengecas tanpa wayar, serta konsol tengah dengan ruang simpanan berpenyejuk.

Sistem hiburan turut dipertingkat dengan pembesar suara premium SONY 8-unit, pencahayaan ambien 64 warna, bumbung suria elektrik serta sambungan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar.

Chery O5 terus menitikberatkan aspek keselamatan dengan badan menggunakan 78% keluli berketahanan tinggi, 6 beg udara, ISOFIX serta Sistem Bantuan Pemanduan Tahap 2 (ADAS).

Ia dilengkapi ciri tambahan seperti kamera panoramik HD 540°, Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) serta kawalan lampu utama pintar. Model ini turut mengekalkan penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP seperti OMODA 5.

Bagi pembeli awal, Chery Malaysia turut menawarkan pakej pelancaran eksklusif yang sangat berbaloi:

  • 3 tahun servis percuma (all-inclusive) bernilai RM4,000*

  • Waranti 10 tahun atau sehingga 1,000,000KM*

  • Pakej pelancaran bernilai RM2,000*

  • Pelan ansuran bulanan menarik dengan Maybank – serendah RM990/bulan*

Orang ramai yang berminat boleh berkunjung ke bilik pameran Chery terdekat anda atau layari laman web rasmi Chery Malaysia untuk menempah sesi pandu uji.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD