NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

MOT Kaji Undang-Undang Perketat Tindakan Terhadap ‘Ulat Teksi’

MOT Kaji Undang-Undang Perketat Tindakan Terhadap ‘Ulat Teksi’

Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menilai semula undang-undang sedia ada bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil terhadap sindiket ‘ulat teksi’ dan kereta sewa haram, terutama di KLIA.

Menterinya, Anthony Loke, berkata walaupun operasi dan penguatkuasaan termasuk denda serta pelucutan hak kenderaan telah dijalankan, kumpulan ini semakin licik kerana menggunakan kereta sewa yang bukan milik sendiri. Katanya, peruntukan undang-undang sekarang hanya membolehkan JPJ menyita kenderaan, tetapi tidak menahan individu terlibat.

“Apabila kereta disita, mereka tidak terkesan sebab ia bukan milik sendiri. Inilah kelompongan undang-undang yang perlu ditutup supaya aktiviti ini benar-benar dapat dibanteras,” jelasnya.

Beliau turut mendedahkan, setiap hari sekurang-kurangnya satu hingga dua kenderaan digunakan sindiket di KLIA dengan caj mencecah RM800 bagi satu perjalanan. Siasatan juga mendapati mereka bergerak secara terancang dan berkongsi kos saman sesama ahli.

Menurutnya, wajah dan pergerakan sindiket itu telah dikenal pasti melalui CCTV, dan operasi intipan serta penguatkuasaan bersama polis akan diperketatkan.

Anthony Loke turut mengingatkan syarikat kereta sewa agar lebih bertanggungjawab kerana pemilik boleh dikenakan tindakan undang-undang jika kenderaan digunakan untuk kegiatan ‘ulat’. Langkah ini katanya penting bagi melindungi imej negara serta sektor pelancongan daripada tercalar akibat penipuan terhadap pelancong.

Sumber: Astro Awani

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy