NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Proton e.MAS 5 Bakal Lancar Secara Rasmi pada 30 Okt – Perkara yang Anda Perlu Tahu Kalau Nak Beli!

Proton e.MAS 5 Bakal Lancar Secara Rasmi pada 30 Okt – Perkara yang Anda Perlu Tahu Kalau Nak Beli!

Selepas sekian lama, Pro-Net menyiarkan teaser dan mendedahkan pada orang ramai melalui MISI 5, akhirnya semuanya akan terungkai dengan jelas pada 30 Oktober ini. Melalui siaran poster di akaun rasmi @protonemasofficial, Proton e.MAS 5 bakal dilancarkan secara rasmi pada 30 Oktober 2025 ini.

Jika e.MAS 7 menumpukan kepada segmen SUV keluarga, e.MAS 5 pula hadir sebagai hatchback elektrik kompak yang lebih praktikal dan mampu milik. Model ini dibangunkan berasaskan Geely Star Wish, namun Proton telah melakukan pelbagai penambahbaikan dari segi talaan suspensi, sistem infotainmen serta reka bentuk dalaman agar lebih sesuai dengan citarasa dan keperluan pasaran tempatan.

Rekaan luaran e.MAS 5 masih lagi disembunyikan dengan balutan stiker penyamaran, namun, bayangannya anda boleh lihat pada Geely Star Wish. Ruang kabin pula tampil minimalis dengan elemen digital sepenuhnya. Antara ciri utama termasuk paparan infotainmen bersaiz 14.6 inci, paparan meter digital penuh, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Proton turut memperkenalkan aplikasi e.MAS Connect, membolehkan pemilik memantau tahap bateri, status pengecasan dan lokasi pengecas terdekat melalui telefon pintar.

Dari segi prestasi, e.MAS 5 dijangka hadir dengan dua varian iaitu Prime dan Premium. Varian Prime dilengkapi bateri LFP 30.12 kWh dengan motor berkuasa 58 kW (79 PS) dan 130 Nm tork, mampu mencapai jarak sekitar 225 kilometer bagi satu cas penuh.

Sementara itu, varian Premium menggunakan bateri 40.16 kWh bersama motor 85 kW (116 PS) dengan 150 Nm tork, menawarkan jarak sehingga 325 kilometer. Model ini turut menyokong pengecasan pantas DC, yang mampu mengisi bateri dari 30 hingga 80 peratus dalam tempoh kira-kira 20 minit.

Proton menjangkakan e.MAS 5 bakal menjadi EV paling mampu milik di Malaysia, dengan anggaran harga antara RM60,000 hingga RM80,000. Ia juga dijangka menjadi antara model terlaris dalam kategori kenderaan elektrik kompak tempatan, memandangkan tempahan awal yang dibuka sejak awal Oktober sudah mencatat sambutan yang menggalakkan.

Kehadiran e.MAS 5 turut menghangatkan saingan dalam pasaran EV mampu milik tempatan, khususnya dengan Perodua eMO yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi. Perbandingan antara dua model nasional ini pasti menjadi tumpuan, kerana kedua-duanya menyasarkan segmen pengguna yang sama.

Dengan dua model e.MAS kini berada dalam barisan, Proton jelas menunjukkan komitmen untuk terus bergerak seiring perubahan industri automotif global. Pelancaran e.MAS 5 bukan sekadar memperluas pilihan EV di pasaran, tetapi juga menandakan permulaan baharu bagi era mobiliti elektrik buatan Malaysia.

Adakah mungkin bakal ada kejutan lagi dari Pro-Net? Sama-sama kita nantikan pelancaran rasminya pada 30 Oktober ini.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD