NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Aridge Perkenal ‘Land Aircraft Carrier’: Gabungan Kereta dan Pesawat Dalam Satu Inovasi

Aridge Perkenal ‘Land Aircraft Carrier’: Gabungan Kereta dan Pesawat Dalam Satu Inovasi

Syarikat teknologi dari China, Aridge, baru-baru ini memperkenalkan ciptaan terbaharu mereka yang digelar ‘Land Aircraft Carrier’, sebuah kenderaan hibrid yang mampu berfungsi sebagai kereta dan pesawat dalam satu sistem.

Menurut jurucakap Aridge, Yuqing Zhou, inovasi ini dibangunkan dengan dua komponen utama yang diintegrasikan secara pintar. Badan kenderaan dan modul pesawat boleh tanggal yang tersimpan di ruang belakang. Reka bentuk ini membolehkan peralihan yang lancar antara pemanduan di jalan raya dan penerbangan di udara, menjadikannya berbeza daripada pesawat eVTOL konvensional yang biasanya memerlukan landasan khas.

“Anda boleh memandunya seperti kereta biasa, dan apabila modul penerbangan dilepaskan, ia boleh berfungsi sebagai pesawat sebenar,” jelas Zhou. “Konsep ini berbeza kerana ia membolehkan pengguna beralih antara dua mod pengangkutan dengan lebih fleksibel.”

Dalam temubual bersama Astro AWANI, Zhou menjelaskan bahawa reka bentuk ‘Land Aircraft Carrier’ ini dibina berasaskan tiga prinsip utama iaitu keupayaan mobiliti, kecekapan pengecasan, dan fleksibiliti operasi. Gabungan ketiga-tiganya menjadikan sistem ini sebagai langkah baharu ke arah apa yang digelar Aridge sebagai ‘penerbangan berasaskan darat’.

“Selama ini, kami berjaya menggabungkan kepakaran dalam bidang automotif dan penerbangan. Dalam penghasilan kenderaan ini, jurutera kami menggunakan pendekatan reka bentuk automotif untuk menghasilkan pesawat yang lebih praktikal dan mudah diselenggara,” tambah beliau.

Aridge kini sedang bersedia untuk fasa pengeluaran besar-besaran, dengan kapasiti tahunan yang dianggarkan mencecah 10,000 unit. Ini menjadikan syarikat tersebut antara peneraju utama dalam industri pesawat elektrik dengan keupayaan berlepas dan mendarat menegak (eVTOL).

Walaupun buat masa ini ia disasarkan untuk penggunaan peribadi, Zhou berkata potensi kenderaan ini jauh lebih luas, termasuk untuk operasi pemadaman kebakaran, misi penyelamatan, dan tindak balas kecemasan.

Dari segi keselamatan, ‘Land Aircraft Carrier’ direka dengan sistem keselamatan berlapis bagi memastikan tahap perlindungan maksimum untuk pengguna.

        “Sekiranya berlaku kegagalan sistem, kawalan boleh dipindahkan dalam masa femtosaat untuk memastikan keselamatan penerbangan.             Pesawat ini juga dilengkapi dengan dua unit bateri berasingan, menambah satu lagi lapisan keselamatan ketika beroperasi,” ujar Zhou             mengakhiri sesi temubual.

Sumber: Astro Awani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD