NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Diculik dan Ditinggal di Tepi Jalan: Pemandu Treler Diikat, Mata Ditutup, Dilarikan 34km

Diculik dan Ditinggal di Tepi Jalan: Pemandu Treler Diikat, Mata Ditutup, Dilarikan 34km

Seorang pemandu treler berusia 37 tahun berdepan detik cemas apabila dilarikan tiga lelaki sejauh kira-kira 34 kilometer dari Bentong ke Raub, sebelum ditemui dalam keadaan terikat dan mata ditutup di tepi jalan pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11.30 malam apabila seorang lelaki terdengar jeritan meminta tolong berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub.

Anggota peronda polis yang tiba di lokasi kemudian menemui mangsa dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan lanjut.

Menurut siasatan awal, mangsa yang membawa muatan besi dari Balakong, Selangor ke Gua Musang, Kelantan, berhenti seketika di sebuah warung makan di sempadan Bentong, Raub untuk mandi dan menukar pakaian. Namun selepas keluar dari bilik mandi, dia didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang terus mengikat tangannya menggunakan kabel pengikat sebelum membawanya masuk ke dalam sebuah kereta.

Selepas kira-kira sejam, mangsa diturunkan di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan dalam keadaan mata ditutup dengan pita pelekat hitam. Motif utama kumpulan suspek dipercayai untuk melarikan lori treler yang membawa muatan besi tersebut.

Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan kini dalam keadaan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.

Dalam masa sama, polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika berhenti di kawasan terpencil pada waktu malam.

Sumber: Sinar Harian

Azfar Zamri

Azfar Zamri merupakan antara tenaga kreatif meja editorial NAZZ&CO™ Media yang banyak menumpukan kepada pelaporan berita automotif harian. Beliau bertanggungjawab memastikan setiap informasi terkini, siaran media korporat, dan perkembangan landskap permotoran negara disampaikan dengan tepat kepada pembaca.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy