Segelintir pemandu lori dikesan menggunakan pelbagai helah termasuk berpura-pura kenderaan rosak bagi mengelak dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Taktik itu terbongkar menerusi Operasi Perang Lebih Muatan yang dijalankan JPJ Kuala Lumpur baru-baru ini bagi membanteras kesalahan membawa muatan berlebihan di sekitar ibu negara.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, berkata tindakan licik itu bukan sahaja mengganggu kelancaran operasi, malah boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 234).
“Sepanjang operasi ini, ada pemandu yang enggan memberi kerjasama dengan alasan lori rosak. Ada juga yang cuba melengah-lengahkan arahan untuk menimbang kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, katanya, semua tindakan berkenaan berjaya ditangani dengan cepat dan tegas oleh pegawai penguat kuasa.
Operasi yang bermula pada 14 Oktober lalu dan akan diteruskan hingga 31 Disember depan, memberi tumpuan di kawasan tumpuan kenderaan perdagangan seperti kuari, pelabuhan dan zon perindustrian berat.
Setakat ini, 14 kenderaan telah ditahan dan disita atas pelbagai kesalahan termasuk membawa muatan berlebihan, tiada lesen sah serta insurans tamat tempoh.
Daripada jumlah itu, enam pemandu merupakan warga asing (Indonesia dan India) manakala selebihnya warga tempatan.
Selain itu, 150 kenderaan turut dikenakan kompaun di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Secara keseluruhan, 5,967 kenderaan telah diperiksa dengan 2,398 notis saman dikeluarkan ke atas 939 kenderaan yang melanggar undang-undang.
Hamidi menegaskan JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuai atau mengabaikan keselamatan awam sehingga mengakibatkan kerosakan jalan atau kemalangan.
“JPJ KL akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan pengguna serta memelihara integriti sistem pengangkutan negara,” katanya.
Sumber: KOSMO
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?