Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara menjadi tumpuan orang ramai selepas kerajaan mengumumkan diskaun 50% bagi bayaran saman trafik yang berlangsung sehingga 30 Disember ini.
Inisiatif selama dua bulan itu mendapat sambutan luar biasa apabila ramai mengambil peluang untuk melunaskan saman tertunggak dengan penjimatan besar.
Di Shah Alam, ejen logistik Mohd Yusof Othman, 51, berkata beliau terus ke kaunter JPJ sebaik mendengar pengumuman tawaran tersebut.
“Saya nak selesaikan saman laju di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang. Denda asal RM300, tapi hari ini saya hanya bayar RM150. Proses pun cepat, tak sampai 20 minit,” katanya.
Bagi penghantar barang, Amirul Mokhtar, 35, inisiatif ini bukan sekadar potongan harga, tetapi menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap beban kewangan rakyat.
“Saya ada dua saman sebab tak guna lorong motosikal. Bila JPJ umum diskaun, saya terus bayar semua RM300. Sangat membantu masa kos sara hidup tengah tinggi,” ujarnya.
Di Kuala Terengganu, pemandu lori Muhammad Hanafi Jusoh, 43, menjelaskan beliau berjaya menjimatkan separuh daripada jumlah saman tertunggak.
“Saya ada lima saman berkaitan cukai jalan dan pemeriksaan kenderaan tertunggak. Dari RM1,500, saya cuma bayar RM750,” katanya.
Sementara itu di Kota Bharu, pemandu lori orang kelainan upaya (OKU) Muhammad Awang, 36, berkata dia menabung selama enam bulan untuk menjelaskan semua lapan saman lamanya.
“Saya kena selesaikan sebab nak perbaharui lesen vokasional. Jumlah asal RM2,400, tapi saya hanya bayar RM1,200,” katanya.
Pemandu lori lain, Mohd Hafizzal, 36, pula sanggup meminjam wang rakan untuk membayar saman.
“Saya pinjam RM1,200 untuk bayar lapan saman JPJ, kebanyakannya sebab cukai jalan tamat tempoh. Tak boleh lepaskan peluang bila diskaun sebanyak ni,” katanya.
Pegawai kerajaan Mahsuri Mokhtar, 43, turut mengambil kesempatan ini untuk melangsaikan saman sebelum menjual keretanya.
“Bila semak, rupanya masih ada saman tertunggak. Tawaran ini memang memudahkan urusan,” katanya.
Untuk makluman, diskaun 50% ini meliputi kebanyakan kesalahan trafik kecuali yang sudah dibawa ke mahkamah atau melibatkan kemalangan, dan akan berakhir pada 30 Disember 2025. – New Straits Times
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?