Karnival Ban Canal kembali untuk edisi ketiga tahun ini dengan misi memperkukuh pelancongan lestari, memperkasa komuniti dan memelihara warisan pertanian di daerah Sabak Bernam.
Berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November, acara komuniti berimpak tinggi ini dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung ke kawasan sekitar Terusan Ban Canal, laluan ikonik sepanjang 30 kilometer yang dibina sejak era penjajahan British untuk sistem pengairan sawah padi.
Karnival ini merupakan antara projek utama di bawah Sabak Bernam Development Area (SABDA) yang diterajui oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, dengan kerjasama pelbagai rakan strategik kerajaan dan swasta.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2022, Karnival Ban Canal telah berkembang menjadi acara pelancongan utama negeri. Tahun ini, penganjuran tersebut menerima pengiktirafan antarabangsa apabila merangkul Anugerah Best Tourism Event dalam Tourism Industry Award 2025 anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MITDA).
Pengiktirafan itu menegaskan komitmen SABDA, MBI dan rakan strategik terhadap pembangunan pelancongan berasaskan komuniti serta pemeliharaan alam sekitar di Sabak Bernam.
Bertemakan “Alam. Budaya. Lestari.”, karnival kali ini menonjolkan sinergi antara pembangunan ekonomi, kelestarian alam dan pemuliharaan budaya tempatan. Ia juga menjadi platform penting memperkukuh pelancongan berasaskan desa dan pertanian – selaras dengan hasrat menjadikan Sabak Bernam sebagai Rizab Biosfera UNESCO pada masa hadapan.
Antara aktiviti menarik yang disediakan termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan sukan air, Larian Santai @Bendang, festival makanan tempatan, jualan produk usahawan desa, pameran agro dan eko-tani, serta kempen kesedaran hijau untuk masyarakat.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, penganjuran Karnival Ban Canal 2025 mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri memperkenalkan keunikan warisan ekologi dan pertanian Selangor kepada dunia.
“Melalui inisiatif ini, kita ingin memanfaatkan potensi ekopelancongan dan agropelancongan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan, memperkukuh kesejahteraan komuniti desa serta memelihara biodiversiti dan warisan budaya tempatan,” katanya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari semasa merasmikan Karnival Ban Canal 2025 di Sabak Bernam
Beliau turut menambah bahawa kejayaan karnival ini memperlihatkan sinergi kukuh antara kerajaan negeri, sektor swasta dan komuniti tempatan dalam menjayakan aspirasi Selangor sebagai negeri hijau, makmur dan berdaya tahan.
Selain Karnival Ban Canal, SABDA turut melaksanakan beberapa projek pemangkin seperti pembangunan Sekinchan Integrated Landing Port (SILP) dan Zon Industri Perikanan Sungai Lang, yang kesemuanya berteraskan pembangunan hijau dan kelestarian komuniti.
Dengan semangat “Alam. Budaya. Lestari.”, Karnival Ban Canal 2025 bukan sekadar acara pelancongan, ia adalah simbol kebangkitan Sabak Bernam sebagai destinasi lestari yang menyatukan warisan, alam dan masa depan.
Sumber: Malaysia Gazette
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?