NEW DELHI, — Sekurang-kurangnya lapan individu disahkan maut manakala 19 lagi cedera dalam insiden letupan sebuah kereta di kawasan sibuk berhampiran Red Fort, ibu negara India, pada petang Isnin.
Menurut pihak berkuasa, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan pasukan forensik bersama unit antikeganasan telah dikerahkan ke lokasi bagi mengenal pasti bentuk bahan letupan yang digunakan.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam kenyataan rasmi menyampaikan rasa dukacita terhadap keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan kesembuhan segera kepada mereka yang cedera. Beliau turut memaklumkan sedang memantau situasi semasa bersama Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, dan beberapa pegawai kanan kerajaan.
“Saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi letupan di Delhi. Semoga mereka yang cedera kembali pulih segera,” ujar Modi dalam kenyataan itu, sambil menegaskan bahawa bantuan sedang disalurkan kepada semua mangsa terlibat.

Anggota polis serta pasukan keselamatan memeriksa kenderaan yang hangus di lokasi letupan berhampiran Red Fort, Old Delhi, India, sambil berdiri di belakang tali penghadang keselamatan. – Foto AFP
Letupan dilaporkan berlaku ketika waktu puncak, berhampiran sebuah stesen metro di kawasan Old Delhi, ketika orang ramai pulang dari tempat kerja. Beberapa ambulans dikerahkan ke lokasi untuk membawa mangsa ke hospital berdekatan.
Timbalan Ketua Jabatan Bomba New Delhi, A.K. Malik, memaklumkan bahawa setakat ini lapan mangsa disahkan meninggal dunia manakala 19 lagi sedang menerima rawatan.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Delhi, Satish Golcha, menjelaskan bahawa kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan yang berhenti di lampu isyarat sebelum berlaku letupan kuat di dalamnya, menyebabkan beberapa kenderaan lain berhampiran turut terbakar.
Wartawan di lokasi melaporkan terdapat tompokan darah di atas jalan, manakala suasana di Hospital LNJP dilaporkan huru-hara apabila mangsa yang cedera dibawa masuk untuk menerima rawatan kecemasan.
Ketua Pembangkang, Rahul Gandhi, turut menyifatkan insiden letupan berdekatan Stesen Metro Red Fort itu sebagai “amat menyayat hati” dan menyeru pihak berkuasa agar segera menjalankan siasatan menyeluruh.
Kebakaran akibat letupan turut memusnahkan sekurang-kurangnya enam buah kereta serta beberapa teksi roda tiga bermotor. Pihak polis kini memperketat kawalan keselamatan di sekitar kawasan hospital dan lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang kejadian susulan.
Ahli keluarga mangsa dilihat berkumpul di luar hospital sambil menunggu maklumat lanjut mengenai keadaan saudara mereka.
Red Fort yang dibina pada tahun 1648 ketika pemerintahan Empayar Mughal merupakan antara mercu tanda bersejarah terpenting di India. Ia juga menjadi lokasi utama setiap kali Perdana Menteri India menyampaikan ucapan Hari Kemerdekaan kepada rakyat.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?