Belum Serik! Baru 2 Bulan Bebas Penjara, Kucai Ditangkap Semula

Belum Serik! Baru 2 Bulan Bebas Penjara, Kucai Ditangkap Semula

Seorang lelaki yang baru dua bulan menikmati kebebasan selepas dibebaskan dari penjara kembali dicekup polis apabila terbabit dalam kes kecurian kenderaan dan kabel milik sebuah syarikat telekomunikasi di daerah Kuala Muda.

Suspek berusia 21 tahun itu, yang dikenali dengan gelaran Kucai, bukan calang-calang — dia mempunyai 10 rekod lampau, masing-masing lima kes berkaitan dadah dan lima lagi melibatkan jenayah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek ditahan bersama tiga rakannya berumur antara 21 hingga 25 tahun menerusi tiga serbuan berasingan dalam Op Lejang yang dijalankan sejak bulan lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Kuala Muda.

“Hasil siasatan mendapati suspek pernah bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi. Dengan pengetahuan yang ada, dia nekad mengajak tiga rakannya menjalankan kegiatan mencuri kabel dan kenderaan,” katanya di IPD Kuala Muda, semalam.

Menurut Hanyan, kumpulan itu cukup berpengalaman, mereka mampu mencuri sebuah kereta dalam masa hanya lima minit menggunakan ‘Allen key’ yang diubah suai. Sasaran utama mereka ialah kenderaan lama seperti Proton Wira, yang kemudiannya digunakan untuk melakukan jenayah lain.

‘T-handle’ dan kunci Allen yang diubah suai digunakan sebagai peralatan khas. – Foto FB Polis Daerah Kuala Muda

Modus operandi kumpulan itu adalah dengan memandu kereta curi untuk meronda kawasan perumahan bagi mencari sasaran sesuai. Mereka turut membawa pelbagai peralatan khas seperti ‘T-handle’ dan ‘Allen key’ bagi memudahkan kerja mencuri.

Katanya lagi, semua suspek dipercayai turut terlibat dalam kes serupa di beberapa daerah lain termasuk Kulim, Yan, Pendang serta Seberang Perai Utara (SPU), Pulau Pinang.

“Kesemua mereka berasal dari Sungai Petani dan siasatan lanjut masih dijalankan,” jelas beliau.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD