Percubaan lima lelaki yang disyaki geng curi kabel untuk melarikan diri akhirnya gagal selepas kenderaan mereka terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran Kampung Kondok, Nilai, pada Sabtu. Kejadian itu berlaku selepas polis mengejar mereka selama hampir sejam, merentasi jarak kira-kira 23 kilometer.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, pihaknya mengesan sebuah Honda Civic FD dalam keadaan mencurigakan di Jalan Seremban–Tampin pada jam 1.30 petang.
“Polis mengarahkan pemandu berhenti, namun mereka terus memecut masuk ke Lebuh Raya Utara-Selatan melalui Plaza Tol Senawang. Ketika keluar dari Tol Labu, kereta suspek melanggar sebuah kenderaan lain dan turut menghentam MPV peronda polis,” katanya.
Polis meneruskan pengejaran sehingga kereta itu hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok sekitar jam 2.30 petang. Lima suspek keluar dari kenderaan dan cuba melarikan diri, namun dua daripada mereka berjaya diberkas.
Menurut Azahar, kedua-dua suspek yang ditahan berusia lingkungan 30-an dan masing-masing memiliki 25 serta 35 rekod lampau. Hasil ujian urin turut menunjukkan mereka positif methamphetamine dan dipercayai aktif mencuri kabel di sekitar Seremban serta Lembah Klang.
Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel, termasuk pemotong kabel, tukul besi, kuku kambing serta dua guni berisi tembaga yang telah dibakar.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?