“Inilah Pengajaran Terbesar – Pakailah Tali Pinggang Keledar!”

“Inilah Pengajaran Terbesar – Pakailah Tali Pinggang Keledar!”

Seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila hampir dirempuh kenderaan lain selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke lorong bertentangan, menyebabkan dia tercampak keluar dari tempat duduk pemandu.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang tular di media sosial, lelaki terbabit pada mulanya memandu di lorong kedua kanan sebelum keretanya secara tiba-tiba terbabas ke kiri dan merempuh penghadang besi. Ketika kejadian, tubuh pemandu itu terhumban keluar dari tempat duduk, manakala keretanya terus meluncur sendiri ke depan lalu menghentam penghadang di lorong kanan.

Pemilik dashcam, dipercayai pemandu lori atau bas, sempat memperlahankan kenderaan sekali gus mengelakkan tragedi yang lebih buruk. Pemandu kereta itu juga dilihat bangun dengan segera dan berlari ke arah keretanya yang masih bergerak, manakala beberapa pemandu lain turut berhenti di bahu jalan untuk membantu.

Kejadian dipercayai berlaku dalam keadaan jalan licin berikutan hujan, berdasarkan tarikh pada rakaman iaitu 28 November, di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak.

Insiden itu mengundang pelbagai reaksi warganet, rata-ratanya menyifatkan ia sebagai peringatan besar kepada semua pemandu agar sentiasa memakai tali pinggang keledar.

“Pengajaran paling bernilai dia dapat, gunakanlah seat belt,” komen Mohd Azlan Othman di Facebook.

“Lepas ni saya yakin dia akan pakai seat belt sampai bila-bila, walaupun duduk di tempat penumpang,” kata Vic Kuan.

Sementara itu, pengguna lain, Napi Mat, turut berkongsi pengalaman: “Dulu masa muda suka tak pakai tali pinggang keledar. Bila kemalangan, berpusing dalam kereta, kepala kat bawah, kaki kat atas. Nasib Allah panjangkan umur. Sekarang masuk kereta je, mesti pakai seat belt. Yang pernah rasa kemalangan tanpa seat belt je faham betapa ngerinya.”

Sumber: KOSMO 

Video Penuh

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD