SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan bertindak pantas apabila menahan tiga individu kurang 24 jam selepas kejadian tembak yang meragut nyawa seorang lelaki di Jalan Rasah menuju Plaza Tol Port Dickson, pagi semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, memaklumkan bahawa ketiga-tiga suspek berusia sekitar 30 hingga 40-an diberkas dalam operasi berasingan di Nilai, Seremban dan Port Dickson.
“Mereka telah dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk permohonan reman dan mahkamah membenarkan tahanan selama lima hari sehingga 15 Disember bagi membantu siasatan,” katanya. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim mengesahkan pihaknya turut merampas sepucuk pistol dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
“Siasatan awal mendapati insiden ini berpunca daripada unsur dendam. Kami turut menyiasat kemungkinan penglibatan kumpulan kongsi gelap,” jelasnya.
Dalam kejadian sekitar 7.53 pagi itu, dua suspek dipercayai menunggang motosikal melepaskan dua das tembakan ke arah sebuah Perodua Myvi yang dinaiki dua mangsa.
Seorang daripada mangsa, lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pengawal peribadi, meninggal dunia selepas hampir lima jam dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban. Seorang lagi mangsa berusia 47 tahun dilaporkan kritikal dan masih menerima rawatan.
Sumber: KOSMO
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?