Rompak Bank RM164 Juta, Perompak Tetap Bayar Tiket Parkir

Rompak Bank RM164 Juta, Perompak Tetap Bayar Tiket Parkir

BERLIN – Aksi sekumpulan perompak di Jerman mencuri perhatian ramai apabila mereka didapati tetap membayar tiket parkir walaupun baru sahaja melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai kira-kira £30 juta (RM164.1 juta) dari sebuah bank.

Kejadian luar biasa itu berlaku di bank simpanan Sparkasse di Buer, kawasan pinggir bandar Gelsenkirchen, minggu lalu. Kumpulan penjenayah berkenaan dipercayai memasuki bangunan melalui tempat letak kenderaan sebelum menebuk dinding konkrit setebal hampir 46 sentimeter menggunakan peralatan gerudi industri.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bertopeng dengan tenang memasukkan syiling ke dalam mesin pembayaran parkir, seolah-olah mematuhi peraturan walaupun sedang melakukan rompakan besar-besaran.

Rakaman lain pula memaparkan salah seorang ahli kumpulan tersebut mengangkat palang parkir automatik bagi membolehkan rakan sejenayah mereka meloloskan diri menggunakan sebuah van Mercedes putih dan sebuah kereta berwarna hitam.

Menurut pihak berkuasa, klip video berkenaan telah dikongsi oleh pihak bank yang menjadi mangsa menerusi aplikasi WhatsApp sebelum tular.

Dalam rompakan itu, sebanyak 3,300 peti simpanan keselamatan yang disewa oleh kira-kira 2,700 pelanggan telah dipecahkan. Penyiasat percaya kejadian tersebut berlaku semasa sambutan Krismas atau beberapa hari sebelumnya, dengan tempoh rompakan dianggarkan antara dua hingga empat jam.

Kes tersebut kini masih dalam siasatan, manakala pihak polis giat memburu suspek yang terlibat.

Sumber: KOSMO

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD