Lubang Benam Berskala Besar Menyedut Air, Tiga Bot Terbenam

Lubang Benam Berskala Besar Menyedut Air, Tiga Bot Terbenam

LONDON – Suasana tenang sebuah terusan di Britain bertukar cemas apabila fenomena lubang benam berskala besar menyebabkan air surut secara mendadak sebelum membentuk kawah gergasi, sekali gus memerangkap tiga buah bot.

Insiden mengejutkan itu berlaku di Terusan Llangollen, Shropshire sekitar jam 4.20 pagi waktu tempatan semalam, menurut laporan media tempatan.

Salah seorang pemilik bot, Bob Wood, berkata dia sedang tidur ketika bot miliknya secara tiba-tiba ditarik ke arah kawah terbentuk. Keadaan menjadi panik apabila bahagian belakang bot terangkat setinggi kira-kira 2.4 meter, menyebabkan dia terjatuh dan bergolek ke bahagian hadapan.

“Saya terus tersedar dan mendapati bot sudah tersangkut. Keadaannya sangat menakutkan,” katanya.

Wood kemudiannya mengejutkan pemilik sebuah lagi bot yang telah pun jatuh ke dasar kawah sebelum kedua-duanya bertindak pantas memanjat naik ke tebing terusan untuk menyelamatkan diri.

Jurucakap perkhidmatan bomba dan penyelamat memaklumkan, lubang benam tersebut dianggarkan berukuran kira-kira 50 meter panjang dan 50 meter lebar, sekali gus memerangkap tiga buah bot di dalamnya.

Menurutnya, lebih 10 orang awam berjaya dipindahkan ke lokasi selamat dengan bantuan anggota bomba yang berdepan situasi berisiko tinggi akibat tanah tidak stabil serta aliran air yang deras.

“Pasukan kami terpaksa bekerja dalam keadaan mencabar. Kawasan keselamatan telah diwujudkan di bahagian hulu dan hilir terusan, selain usaha mengawal aliran air menggunakan sistem pintu air,” katanya.

Sumber: KOSMO

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD