Nissan GT-R Hilang Kawalan, Dua Nyawa Terkorban di Johor Jaya

Nissan GT-R Hilang Kawalan, Dua Nyawa Terkorban di Johor Jaya

JOHOR BAHRU – Dua lelaki maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah Nissan GT-R, Kia Picanto dan dua Perodua Axia di Jalan Dedap 1, Taman Johor Jaya, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Sohaimi Ishak berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 3.20 petang apabila Nissan GT-R yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dipercayai hilang kawalan.

Menurut beliau, kenderaan tersebut kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah Kia Picanto yang dipandu wanita berusia 58 tahun.

“Selepas perlanggaran awal, Nissan GT-R berkenaan terus merempuh dua lagi kenderaan jenis Perodua Axia yang masing-masing dipandu lelaki tempatan berusia 29 dan 30 tahun sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sohaimi, pemandu Nissan GT-R mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sementara itu, seorang lagi mangsa iaitu pemandu Perodua Axia berusia 30 tahun yang turut cedera parah di kepala menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail,” jelasnya.

Dalam kejadian sama, empat individu lain dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan di hospital yang sama.

Menurut beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada di jalan raya, mematuhi had kelajuan serta mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan bersama.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-386 4222,” katanya.

Sumber: Utusan TV

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD