Perodua Aruz Terbabas Ngeri Di Plaza Tol Sungai Dua, Pemandu Terkorban

Perodua Aruz Terbabas Ngeri Di Plaza Tol Sungai Dua, Pemandu Terkorban

Seorang lelaki warga Pakistan maut manakala rakannya mengalami kecederaan parah selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan sebelum melanggar tembok Plaza Tol Sungai Dua di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), di sini, malam Ahad.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Pulau Pinang, John Sagun Francis, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut pada jam 10.43 malam.

Katanya, kejadian melibatkan sebuah Perodua Aruz yang dinaiki dua lelaki warga Pakistan dipercayai terbabas sebelum merempuh tembok plaza tol berkenaan, menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan.

“Mangsa yang berada di tempat duduk penumpang berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba dan segera dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun, pemandu kenderaan hanya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas pada jam 11.15 malam dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain yang melalui kawasan berkenaan menunjukkan kereta mangsa tiba-tiba melencong sebelum melanggar tembok plaza tol, lalu berpusing dan terbalik di atas jalan.

Beberapa individu awam turut dilihat cuba membantu mangsa sebaik kemalangan berlaku, sebelum pasukan penyelamat tiba.

Setakat ini, identiti pemandu yang maut masih belum dikenal pasti, manakala mangsa yang cedera parah dikenal pasti sebagai Zafar Iqbal, 42.

Sumber: MSTAR

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD