Tujuh Suspek Ditahan, Dua Positif Residu Tembakan Komander AKPS

Tujuh Suspek Ditahan, Dua Positif Residu Tembakan Komander AKPS

KUBANG PASU – Tujuh suspek ditahan polis, manakala dua daripada mereka dikesan memiliki residu tembakan (GSR) susulan kejadian serangan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir.

Kesemua suspek termasuk sepasang suami isteri berusia antara 22 hingga 52 tahun ditahan pada hari kejadian bermula pukul 10.30 pagi hingga 6 petang dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan pihak polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, enam suspek adalah lelaki warga tempatan manakala wanita terbabit merupakan warga Thailand dan kesemuanya tinggal berhampiran lokasi kejadian.

“Hasil risikan dibuat, polis berjaya menahan mereka pada hari kejadian di rumah masing-masing, manakala pasangan suami isteri terbabit ditangkap kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika mahu ke Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar di Perlis.

“Siasatan lanjut yang dibuat pihak forensik berjaya mengesan residu tembakan (GSR) pada bahagian pipi dan tangan dua daripada suspek terbabit yang merupakan petunjuk positif kepada kejadian terbabit,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.40 pagi kelmarin, kenderaan Proton X70 dipandu Mohd. Nasaruddin ditembak dua das dari jarak kira-kira satu meter oleh dua individu menaiki motosikal ketika beliau dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Muhajirin, Bukit Kayu Hitam.

Adzli berkata, penemuan GSR itu sekali gus menolak dakwaan bahawa tangkapan dibuat tanpa asas walaupun senjata api yang digunakan masih belum ditemukan.

Beliau turut memaklumkan lima suspek terlibat dalam aktiviti motosikal penambang yang membawa pengembara dari kawasan parkir awam ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam untuk ke Thailand.

Menurutnya, enam suspek didapati positif dadah jenis ketamin dan methamphetamine, manakala empat daripadanya mempunyai tujuh rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta kes penyeludupan beras di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

“Rekod lain termasuk di bawah Seksyen 376B iaitu rogol; Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA); Seksyen 326 Kanun Keseksaan; Seksyen 130V Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Tambah beliau, lima suspek direman selama lima hari sehingga 1 Mac, seorang lagi direman dua hari dan akan disambung, manakala wanita terbabit ditahan 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

Polis turut merampas dua motosikal jenis Honda dan Yamaha termasuk sebuah dipercayai digunakan dalam kejadian itu, sembilan telefon bimbit serta lima set pakaian.

Sumber: Utusan Malaysia

 

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD