Pihak polis mengesahkan bahawa pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 137.4, Lebuh Raya Utara Selatan Sabtu lepas, berada di bawah pengaruh dadah.
Suspek dikesan positif jenis methamphetamine atau syabu selepas ujian saringan air kencing dilakukan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, memaklumkan bahawa suspek lelaki warga tempatan berusia 28 tahun itu kini direman selama empat hari bermula semalam. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hasil siasatan awal mendapati treler berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah kereta Honda BR-V di lorong kanan. Impak rempuhan itu menyebabkan kenderaan tersebut diseret ke hadapan sehingga melanggar dua lagi kenderaan lain.
“Susulan daripada pelanggaran itu juga, sebuah kenderaan jenis Proton X50 turut terbalik dan terjunam ke dalam longkang di sebelah kanan jalan,” jelas Helmi dalam satu kenyataan media.
Kemalangan tragis pada jam 3.15 petang itu melibatkan seramai 12 orang mangsa secara keseluruhan. Tiga penumpang Honda BR-V dilaporkan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala, kaki, dan dada, manakala lima lagi mangsa termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan kecemasan. Insiden ini turut mengakibatkan kesesakan luar biasa sejauh sembilan kilometer di laluan tersebut pada Sabtu lepas.
Pihak polis meminta saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor S. Saravanan di talian 016-452 5105 bagi membantu siasatan.
Sumber: Utusan Malaysia
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?