NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Trafik Balik Kampung Dijangka Sesak Hingga Lewat Malam Ini

Trafik Balik Kampung Dijangka Sesak Hingga Lewat Malam Ini

KUALA LUMPUR – Aliran kenderaan di nadi utama lebuh raya negara dijangka kekal tinggi dengan situasi trafik balik kampung sesak sehingga lewat malam ini berikutan warga kota yang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman sempena sambutan Aidilfitri.

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohd Yusuf Abdul Aziz mendedahkan jumlah kenderaan semalam menunjukkan sedikit penurunan berbanding hari sebelumnya, namun angka tersebut kekal tinggi mencecah lebih dua juta kenderaan sehari.

“PLUS menjangkakan trend sama berterusan hari ini hingga lewat malam memandangkan esok adalah sambutan Aidilfitri,” katanya kepada BH, hari ini.

Menyentuh mengenai isu keselamatan, beliau menegaskan setakat semalam, tiada sebarang kemalangan atau kejadian luar jangka dilaporkan yang menjejaskan kelancaran aliran trafik secara serius.

Menurut beliau, pihak PLUS juga bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memperkukuh aspek keselamatan serta penguatkuasaan sepanjang musim perayaan ini.

“Sebarang kemalangan yang berlaku berjaya diselesaikan dengan segera hasil kerjasama semua pihak, khususnya Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) yang ditempatkan di lokasi strategik sepanjang lebuh raya,” katanya.

“Pemantauan dan penyuraian trafik turut dilaksanakan di lokasi dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ sekiranya keadaan memerlukan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan lebih awal dan mendapatkan maklumat trafik terkini melalui aplikasi X serta MyPLUS-TTA bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Terdahulu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara mula bergerak perlahan sejak awal pagi ini.

Setakat jam 8 pagi tadi, hanya dua jajaran utama iaitu Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dikesan mengalami situasi trafik balik kampung sesak, manakala laluan lain termasuk menghala ke Selatan dilaporkan masih terkawal.

Pihak PLUS melaporkan pergerakan trafik bergerak perlahan bagi arah Utara melibatkan kawasan dari Sungkai menuju ke Bidor.

Di Lebuhraya LPT pula, aliran kenderaan dikesan perlahan antara jajaran Lentang ke Bentong yang berpunca daripada pertambahan volum kenderaan yang sangat tinggi.

Kepadatan trafik turut dikesan di Lebuhraya KL-Karak bagi arah Timur dengan aliran perlahan sejauh 9.8 kilometer (KM) bermula dari KM48.1 hingga KM57.9 (Bukit Tinggi) akibat sebuah kenderaan rosak yang menghalang lorong laju.

Di Lebuhraya PLUS, pergerakan trafik perlahan dikesan dari arah Kuala Kangsar ke Changkat Jering susulan insiden treler rosak di KM264.4 arah Utara dari Ipoh Utara ke Kuala Kangsar yang menyebabkan lorong kiri terhalang, namun status trafik secara keseluruhan masih terkawal.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD