NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Gagal Lindungi Kanak-Kanak, Meta Diperintah Bayar AS$375 Juta

Gagal Lindungi Kanak-Kanak, Meta Diperintah Bayar AS$375 Juta

Syarikat gergasi teknologi, Meta, diperintah membayar penalti sivil berjumlah AS$375 juta (kira-kira RM1.77 bilion) selepas didapati bersalah mengelirukan pengguna mengenai tahap keselamatan di platform Facebook dan Instagram.

Keputusan juri di New Mexico ini merupakan kali pertama Meta dipertanggungjawabkan secara penuh dalam perbicaraan melibatkan eksploitasi seksual kanak-kanak.

Peguam Negara New Mexico, Raul Torrez, menegaskan bahawa Meta sedar tentang risiko bahaya terhadap golongan bawah umur, namun didakwa sengaja mengabaikan amaran dalaman pekerja mereka demi mengejar keuntungan syarikat.

Platform Jadi “Lubuk” Pemangsa

Siasatan yang difailkan sejak Disember 2023 mendedahkan bagaimana ciri-ciri di Facebook dan Instagram telah disalahgunakan sebagai medium perdagangan dan eksploitasi kanak-kanak. Mahkamah turut diberitahu mengenai “Operation MetaPhile” pada 2024 yang berjaya menahan tiga individu kerana menggunakan platform tersebut untuk memancing mangsa bawah umur.

Lebih mengejutkan, keputusan Meta untuk memperkenalkan sistem pesanan sulit (encrypted) pada Messenger pada 2023 didakwa telah menghalang pihak berkuasa daripada mengesan bukti penting melibatkan aktiviti grooming dan perkongsian imej tidak senonoh.

“Eksekutif Meta mengetahui risiko ini, menerima amaran daripada pekerja sendiri, namun tetap gagal mengambil langkah sewajarnya,” jelas Raul Torrez selepas keputusan mahkamah diumumkan.

Meta Bakal Rayu, Mark Zuckerberg Pertahankan Diri

Walau bagaimanapun, Meta menyatakan rasa tidak puas hati dan bakal memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Syarikat itu mendakwa mereka telah melabur berbilion dolar untuk meningkatkan keselamatan remaja, termasuk memperkenalkan akaun khas Instagram Teen Accounts pada tahun 2024.

Dalam keterangan mahkamah, Ketua Meta, Mark Zuckerberg dan Ketua Instagram, Adam Mosseri mengakui sukar untuk menghapuskan risiko sepenuhnya memandangkan jumlah pengguna yang terlalu besar.

Namun, hujah tersebut gagal meyakinkan juri yang akhirnya menetapkan penalti maksimum AS$5,000 bagi setiap pelanggaran di bawah Akta Amalan Tidak Adil.

Selain denda wang ringgit, Meta kini berdepan tuntutan tambahan pada Mei depan yang bakal memaksa syarikat itu melaksanakan sistem pengesahan umur yang lebih ketat serta perlindungan proaktif terhadap mangsa eksploitasi.

Sumber: Astro Awani

Siti Sarah Abu Kassim

Siti Sarah merupakan Spesialis Naratif & Formula 1 (F1) yang pakar dalam menggarap skrip serta dialog berimpak tinggi. Berbekalkan pemahaman teknikal yang mendalam tentang jentera F1, beliau cemerlang merapatkan jurang antara penceritaan emosi dan analisis sukan permotoran elit sebagai seorang pengacara yang serba boleh.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy