NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Perang Asia Barat Paksa Syarikat Penerbangan Dunia Naikkan Tambang Tiket Serta-merta

Perang Asia Barat Paksa Syarikat Penerbangan Dunia Naikkan Tambang Tiket Serta-merta

Krisis peperangan yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel, dan Iran kini mencetuskan huru-hara dalam industri penerbangan global apabila harga bahan api pesawat melambung tinggi dalam tempoh singkat.

Kos bahan api jet dilaporkan melonjak drastik daripada sekitar AS$90 setong kepada paras mengejutkan antara AS$200 setong hanya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Memandangkan bahan api menyumbang sehingga satu perempat daripada kos operasi sesebuah syarikat penerbangan, lonjakan ini memaksa pengendali ruang udara di seluruh dunia mengambil langkah drastik termasuk menaikkan harga tiket dan menyemak semula unjuran kewangan mereka.

Bagi menangani beban kewangan yang kian meruncing, kebanyakan syarikat penerbangan utama mula memperkenalkan surcaj bahan api tambahan dan menaikkan tambang secara meluas.

Syarikat seperti Air France-KLM merancang menaikkan tambang kabin sehingga 50 euro (kira-kira RM250) bagi setiap perjalanan pergi-balik jarak jauh, manakala Air New Zealand dan Thai Airways turut mengambil langkah serupa dengan kenaikan tambang antara 10 hingga 15 peratus.

Di rantau Asia, Cathay Pacific dan Greater Bay Airlines dari Hong Kong akan menyemak semula surcaj bahan api mereka setiap dua minggu bagi memastikan syarikat kekal beroperasi di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Selain kenaikan harga tiket, beberapa syarikat penerbangan terpaksa membatalkan atau mengurangkan kekerapan penerbangan bagi laluan yang dianggap tidak menguntungkan.

Syarikat penerbangan Scandinavia, SAS, mengumumkan pembatalan sehingga 1,000 penerbangan pada April ini, manakala United Airlines di AS menjangkakan harga minyak akan kekal tinggi melebihi AS$100 sehingga akhir 2027.

Di sebalik tekanan ini, syarikat seperti IAG (pemilik British Airways) masih mampu mengekalkan harga buat masa terdekat hasil strategi lindung nilai (hedging) bahan api.

Namun, rata-rata penganalisis industri memberi amaran bahawa pengguna perlu bersedia untuk berdepan dengan era tambang mahal selagi konflik di Asia Barat belum menemui jalan penyelesaian.

Sumber: Berita Harian

Siti Sarah Abu Kassim

Siti Sarah merupakan Spesialis Naratif & Formula 1 (F1) yang pakar dalam menggarap skrip serta dialog berimpak tinggi. Berbekalkan pemahaman teknikal yang mendalam tentang jentera F1, beliau cemerlang merapatkan jurang antara penceritaan emosi dan analisis sukan permotoran elit sebagai seorang pengacara yang serba boleh.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy