NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Bangladesh Pendekkan Waktu Bekerja, Hadkan Penggunaan Elektrik

Bangladesh Pendekkan Waktu Bekerja, Hadkan Penggunaan Elektrik

Kerajaan Bangladesh secara rasmi menguatkuasakan pengurangan waktu bekerja di pejabat sektor awam dan swasta bermula semalam sebagai langkah kecemasan bagi menjimatkan tenaga.

Keputusan drastik ini diambil susulan gangguan bekalan elektrik yang meruncing akibat konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel, dan Iran yang telah menjejaskan pasaran tenaga dunia.

Bangladesh yang mempunyai 170 juta penduduk sangat terdedah kepada krisis ini memandangkan negara itu bergantung kepada import bagi 95 peratus keperluan tenaganya.

Waktu operasi pejabat kini dipendekkan bermula jam 9 pagi hingga 4 petang, manakala perkhidmatan perbankan pula dihadkan dari jam 10 pagi hingga 3 petang sahaja.

Setiausaha Bahagian Tenaga dan Sumber Mineral Bangladesh, Monir Hossain Chowdhury, menjelaskan bahawa langkah ini adalah rentetan daripada ketiadaan import minyak mentah dari Asia Barat selama lebih sebulan setengah ekoran penutupan Selat Hormuz.

Selain sektor pejabat, kerajaan turut mengarahkan pengurangan penggunaan tenaga di pasar raya serta menasihati agar pencahayaan di ruang awam dan peribadi dikurangkan secara sukarela.

Monir Hossain Chowdhury menegaskan bahawa sokongan setiap warganegara adalah kritikal dalam memastikan inisiatif ini berjaya bagi mengelakkan krisis yang lebih besar.

“Untuk menjimatkan bahan api, kita harus fokus hanya kepada keperluan asas dan penting, sementara aktiviti tidak penting boleh ditangguhkan buat sementara. Ini akan membantu mengurangkan penggunaan tenaga. Setiap warganegara mesti menyokong inisiatif ini. Jika satu lampu sudah cukup, mengapa perlu menyalakan lima?” jelas beliau dalam satu kenyataan kepada Arab News.

Bermula semalam, semua operasi pasar raya dan pusat membeli-belah diwajibkan tutup pada jam 7 malam.

Walau bagaimanapun, sedikit kelonggaran akan diberikan menjelang sambutan Tahun Baharu Bengali pada 14 April ini.

Presiden Persatuan Pemilik Kedai, Mohammad Helal Uddin, menyeru semua peniaga supaya bekerjasama dan menganggap krisis ini sama seriusnya seperti mendepani pandemik COVID-19 yang lalu.

“Jika keputusan kerajaan tidak dipatuhi, pemilik kedai akan dikenakan denda, yang dipantau oleh pihak polis dan pihak berkuasa elektrik. Saya harap semua pemilik kedai akan secara sukarela menyokong inisiatif berjimat ini, memandangkan krisis tenaga global sekarang. Krisis ini memberi kesan kepada pertanian, pengangkutan, elektrik dan banyak lagi,” kata Mohammad Helal Uddin.

Kementerian Buruh dan Pekerjaan serta Kementerian Pendidikan juga dijangka akan mengumumkan peraturan baharu bagi sektor perindustrian dan sekolah dalam masa terdekat.

Kerajaan turut memberi bayangan bahawa kelonggaran operasi yang sama mungkin akan diberikan semasa sambutan Aidiladha sekiranya konflik di Asia Barat masih berterusan.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD