NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Krisis Tenaga Global Tingkat Permintaan Minyak Sawit Malaysia

Krisis Tenaga Global Tingkat Permintaan Minyak Sawit Malaysia

Permintaan terhadap minyak sawit Malaysia dijangka terus melonjak daripada negara pengimport utama seperti China dan India berikutan ketidaktentuan geopolitik global serta keperluan mendesak terhadap keterjaminan tenaga.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad, menyatakan bahawa pasaran antarabangsa kini melihat minyak sawit sebagai alternatif yang lebih kompetitif dan stabil di tengah-tengah gangguan logistik yang berlaku di Selat Hormuz.

China, yang merupakan pengimport kedua terbesar minyak sawit negara, mula menunjukkan kecenderungan untuk meningkatkan stok komoditi tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Datuk Seri Noraini, kebergantungan tinggi China terhadap import minyak dari Iran serta kenaikan harga tenaga global telah meningkatkan kos input bagi industri hiliran mereka seperti oleokimia dan biodiesel.

“Memandangkan China mengimport hampir 90 peratus minyak dari Iran, kenaikan harga tenaga global meningkatkan kos input industri hiliran mereka. Ini mendorong kepada permintaan terhadap minyak sawit Malaysia sebagai alternatif bahan mentah yang lebih kompetitif berbanding minyak kacang soya yang terkesan dengan tarif Amerika Syarikat,” jelas beliau baru-baru ini.

Bagi pasaran India pula, pertumbuhan pesat dalam sektor pembuatan dan infrastruktur terus memacu permintaan terhadap produk oleokimia dan minyak sawit.

Walaupun India berdepan dengan tekanan inflasi akibat kenaikan harga minyak mentah dunia, minyak sawit kekal menjadi pilihan utama kerana kecekapan harganya berbanding minyak sayuran lain di pasaran global.

Situasi geopolitik masa kini menyebabkan harga minyak sayuran dunia meningkat, namun keunggulan harga minyak sawit Malaysia memberikan kelebihan besar kepada margin keuntungan pengimport di India.

Selain pengukuhan eksport, kerajaan juga komited dalam memperkasakan penggunaan biodiesel sawit melalui Program Biodiesel Negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil import.

Langkah strategik ini termasuklah cadangan untuk meningkatkan adunan biodiesel daripada B10 kepada B20 dan B30 pada masa hadapan.

Pihak kementerian melihat terdapat ruang yang sangat besar untuk peningkatan ini memandangkan loji biodiesel tempatan masih beroperasi di bawah kapasiti sebenar.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir, mengesahkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan kadar adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan kadar B12.

Langkah ini dilaksanakan tanpa melibatkan sebarang kos tambahan bagi memanjangkan ketersediaan bekalan diesel negara susulan krisis tenaga yang melanda Asia Barat ketika ini.

“Sebagai langkah jangka sederhana kita mesti mempercepat penstrukturan semula ekonomi melalui peralihan kepada tenaga boleh baharu supaya sumber tenaga yang lebih terjamin secara domestik. Dalam konteks ini, kerajaan bukan sahaja menstabilkan bekalan dan harga tetapi juga membina daya tahan jangka panjang memandangkan pemulihan krisis ini dijangka mengambil masa sehingga 18 bulan,” kata Datuk Seri Akmal Nasrullah.

Peralihan kepada adunan B15 ini dianggap sebagai satu tindakan proaktif untuk membina daya tahan ekonomi jangka panjang.

Dengan infrastruktur sedia ada yang mencukupi, peningkatan penggunaan biodiesel sawit ini bukan sahaja dapat menstabilkan bekalan tenaga domestik, malah membantu Malaysia mengukuhkan kedudukan komoditi utamanya di peringkat global sepanjang tempoh pemulihan krisis yang dijangka berlarutan sehingga 18 bulan.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD