Langkah kerajaan menetapkan syarat lebih ketat bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) bermula 1 Julai 2026 mendapat reaksi pelbagai daripada pemerhati industri.
Walaupun dasar itu bertujuan memperkukuh pembangunan automotif tempatan, pakar memberi amaran ia boleh mengehadkan akses rakyat kepada teknologi hijau yang mampu milik jika tidak diseimbangkan dengan baik.
Berdasarkan syarat baharu tersebut, setiap unit EV CBU perlu memenuhi nilai minimum kos, insurans, dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000 serta kuasa motor minimum 180kW.
Langkah ini secara tidak langsung akan menaikkan harga jualan runcit EV import kepada sekitar RM250,000 hingga RM300,000 selepas mengambil kira cukai dan margin jualan.
Penganalisis pasaran bebas, Amarjeet Singh, berkata matlamat kerajaan untuk menggalakkan pemasangan tempatan (CKD) dan menarik pelaburan vendor adalah jelas, namun kebimbangan utama adalah kesan kepada pengguna biasa.
“Tujuannya jelas untuk menggalakkan CKD dan pelaburan tempatan. Namun, dalam masa sama, EV mampu milik CBU akan menjadi semakin terhad dan pilihan pengguna mengecil. Dasar ini tidak salah untuk membina industri, tetapi persoalannya ialah bagaimana ia dilaksanakan supaya tidak akhirnya melindungi industri tetapi menghukum pengguna,” tegas Amarjeet.
Beliau menambah bahawa kenaikan harga yang mendadak boleh mengubah persepsi rakyat terhadap EV.
Jika harga mencecah RM300,000, pengguna mungkin akan kembali mempersoalkan keperluan membeli EV kerana kos pemilikan yang jauh lebih tinggi berbanding kenderaan petrol.
Sementara itu, penganalisis automotif terkenal, Hezeri Samsuri, berpendapat dasar ini adalah usaha baik untuk melindungi pelaburan sedia ada dalam negara, namun mengingatkan kementerian agar memahami realiti pengeluar global, terutama dari China.
“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) perlu faham jika pasaran Malaysia dianggap terlalu sukar, syarikat dari China boleh memilih untuk meninggalkan pasaran begitu sahaja. Kita perlu cari keseimbangan antara melindungi kepentingan negara dan memenuhi kehendak pengguna,” kata Hezeri.
Beliau juga menjangkakan kenaikan harga EV CBU akan menjadikan kenderaan hibrid dan plug-in hybrid (PHEV) kembali menarik minat pembeli, memandangkan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia masih dalam proses kematangan.
Bagi penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Iftaar Hakim Rusli pula, dasar ini akan memberi tekanan besar kepada pengedar yang bergantung kepada jualan model import.
Menurut beliau, daripada 20 model EV terlaris di Malaysia ketika ini, hanya lima model yang dijangka tidak terjejas, termasuk model tempatan seperti Proton e.MAS 5 dan e.MAS 7.
Secara keseluruhannya, pemerhati industri bersepakat bahawa kejayaan dasar ini bergantung kepada sejauh mana Malaysia mampu membina ekosistem EV yang lengkap.
Ini merangkumi pusat servis, rangkaian pengecasan, dan latihan teknikal supaya teknologi kekal sebagai teknologi untuk rakyat, bukan sekadar barangan mewah untuk golongan tertentu.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?