Era EV Import Bawah RM200,000 Berakhir, Fokus Kepada Automotif Tempatan

Era EV Import Bawah RM200,000 Berakhir, Fokus Kepada Automotif Tempatan

Landskap automotif elektrik (EV) di Malaysia bakal berdepan perubahan besar apabila era kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU) dengan harga bawah RM200,000 dijangka berakhir.

Hal ini susulan langkah kerajaan menamatkan pengecualian khas di bawah skim Permit Import (AP) Francais yang telah pun tamat secara rasmi pada 31 Disember 2025.

Bermula 1 Julai 2026, semua unit EV CBU yang dibawa masuk ke negara ini perlu mematuhi syarat baharu yang lebih ketat.

Antara syarat utama yang ditetapkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) adalah nilai minimum Kos, Insurans dan Tambang (CIF) mestilah sekurang-kurangnya RM200,000.

Selain itu, kenderaan terbabit perlu mempunyai output motor minimum 180kW ke atas.

Penganalisis TA Securities, Angeline Chin, menjelaskan bahawa langkah ini berkemungkinan besar akan mengurangkan lambakan model EV import murah yang selama ini mendominasi pasaran massa hasil strategi harga agresif, terutamanya daripada pengeluar China.

“Rangka kerja yang disemak semula ini berpotensi mengurangkan lambakan EV import berharga rendah secara beransur-ansur bermula Julai 2026. Ini seterusnya akan mengurangkan tekanan harga merentasi pasaran EV yang lebih luas dan meningkatkan daya saing model pemasangan tempatan (CKD) dalam jangka masa panjang,” ujar beliau.

Walaupun polisi ini dilihat positif bagi memperkukuh industri automotif domestik, ia juga membawa cabaran tersendiri. Pasaran massa buat masa ini sangat sensitif terhadap harga ekoran peningkatan kos sara hidup.

Sekiranya pilihan model EV import murah semakin berkurangan, terdapat kebimbangan bahawa momentum penerimaan EV dalam kalangan rakyat akan sedikit perlahan kerana pilihan pengguna menjadi lebih terhad.

MITI bagaimanapun memberi kelonggaran kepada syarikat automotif untuk menghabiskan stok inventori sedia ada, termasuk unit yang sudah berada di pelabuhan atau sedang dalam transit, mengikut rangka kerja lama sehingga stok berkenaan habis sepenuhnya.

Secara keseluruhannya, langkah kerajaan ini memberi isyarat jelas untuk membahagikan pasaran kepada dua segmen, iaitu model premium bagi unit import dan pasaran mampu milik bagi unit yang dipasang secara tempatan.

Ini sekali gus memaksa pengeluar antarabangsa untuk melabur lebih serius dalam pengeluaran domestik jika mahu terus kekal kompetitif dalam pasaran mampu milik di Malaysia.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD