KUALA LUMPUR: Jenama kenderaan elektrik (EV) global, iCAUR terus memperkukuh kehadirannya di Malaysia apabila model popular mereka, iCAUR 03 kini rasmi dipasang secara tempatan (CKD) di negara ini. Langkah tersebut menandakan fasa baharu buat jenama berkenaan dalam pasaran Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) tempatan yang semakin berkembang pesat.
Selepas diperkenalkan sebagai model import sepenuhnya (CBU) pada September 2025, iCAUR 03 berjaya menarik perhatian pengguna Malaysia menerusi gabungan rekaan Boxy Retro Classic, teknologi pintar dan karakter SUV elektrik yang unik. Kini, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, pemasangan tempatan model tersebut telah dimulakan di kilang Chery Corporate Malaysia di Shah Alam.
Menurut Pengarah Kanan iCAUR Malaysia, Francis Chin, peralihan kepada pemasangan tempatan merupakan langkah penting dalam usaha memperkukuh jenama itu di Malaysia.
Beliau berkata, iCAUR 03 berjaya mencipta identiti tersendiri dalam kalangan pembeli EV tempatan kerana tampil berbeza daripada SUV elektrik konvensional yang berada di pasaran ketika ini.
“iCAUR 03 membawa sesuatu yang segar dan berbeza dalam ruang EV. Ia ekspresif, berkebolehan dan mempunyai identiti tersendiri yang jelas,” katanya.
Tambah beliau lagi, model CKD tersebut masih mengekalkan spesifikasi premium yang sama seperti model CBU sebelum ini tanpa sebarang pengurangan dari segi prestasi, teknologi mahupun karakter pemanduannya.

Salah satu faktor utama yang menjadikan iCAUR 03 semakin popular ialah reka bentuk Boxy Retro Classic yang diinspirasikan daripada konsep off-road moden. SUV elektrik ini menampilkan siluet berkotak, garisan badan tegap serta pencahayaan LED futuristik yang menyerlahkan identiti tersendiri.
Pendekatan rekaan berasaskan falsafah i-BOX itu turut menjadikan iCAUR 03 tampil lebih unik berbanding kebanyakan SUV elektrik moden yang lebih cenderung kepada rekaan aerodinamik minimalis.
Gabungan gaya retro dan elemen moden ini berjaya menarik perhatian pengguna muda serta mereka yang mahukan sebuah EV dengan karakter lebih menonjol.
Untuk pasaran Malaysia, iCAUR 03 CKD akan ditawarkan dalam varian Intelligent Wheel Drive (iWD) yang menggunakan tetapan dwi-motor elektrik.
SUV elektrik ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 205 kW bersamaan 279 PS bersama tork maksimum 385 Nm, sekali gus memberikan prestasi yang responsif untuk kegunaan harian mahupun perjalanan jarak jauh.
iCAUR 03 iWD turut dilengkapi bateri berkapasiti 69.8 kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 418 kilometer mengikut standard NEDC.
Bagi sistem pengecasan pula, model ini menyokong pengecasan pantas DC 80 kW serta pengecasan AC 6.6 kW. Ia juga hadir dengan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.2 kW yang membolehkan tenaga daripada bateri kenderaan digunakan untuk menghidupkan peranti elektronik dan perkakas elektrik lain.

Selain prestasi, iCAUR 03 turut menampilkan pelbagai teknologi moden yang memberi fokus kepada aspek keselamatan dan keselesaan pengguna.
SUV ini hadir dengan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), kokpit digital pintar, perlindungan bateri yang dipertingkatkan serta konfigurasi badan yang sesuai untuk pemanduan bandar dan aktiviti hujung minggu.
Karakter lasak yang dibawakan juga menjadikan iCAUR 03 sesuai digunakan dalam pelbagai situasi pemanduan tanpa mengorbankan keselesaan harian.

Bagi pasaran Malaysia, iCAUR 03 CKD ditawarkan pada harga bermula RM129,880 bagi varian iWD (atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia).
Menariknya, harga tersebut turut didatangkan bersama pakej tambahan termasuk pengecas rumah AC 7kW serta servis berjadual percuma selama dua tahun atau 45,000 km, bergantung kepada mana yang tiba terlebih dahulu.
Dengan penawaran tersebut, iCAUR dilihat cuba memberikan nilai tambah yang lebih kompetitif dalam segmen SUV elektrik yang kini semakin sengit.
Sambutan terhadap model iCAUR juga semakin memberangsangkan apabila jenama itu merekodkan sebanyak 547 unit pendaftaran pada April 2026 sahaja menerusi keseluruhan barisan modelnya.
Peningkatan minat terhadap EV ketika ini dilihat dipacu oleh beberapa faktor termasuk ketidaktentuan harga bahan api serta kesedaran pengguna terhadap kos pemilikan jangka panjang yang lebih rendah.
Dalam masa sama, perkembangan infrastruktur pengecasan EV di Malaysia turut membantu meningkatkan keyakinan pengguna untuk beralih kepada mobiliti elektrik.
Pengarah Pemasaran iCAUR Malaysia, Daniel Lai berkata, iCAUR mahu terus memperkenalkan barisan NEV yang lebih bergaya, pintar dan mempunyai karakter tersendiri untuk pengguna Malaysia.
Menurut beliau, iCAUR 03 hanyalah permulaan kepada perancangan jangka panjang jenama itu di negara ini.
Secara global, iCAUR merupakan hasil kerjasama antara Chery dan SmartMi Tech.
Jenama tersebut mula diperkenalkan di peringkat antarabangsa ketika Shanghai International Automobile Industry Exhibition 2025 dengan sasaran untuk berkembang ke 100 negara serta membuka lebih 2,000 pusat jualan dan servis di seluruh dunia menjelang tahun 2028.
Di Malaysia, iCAUR dilihat berpotensi menjadi antara pemain penting dalam segmen EV menerusi pendekatan reka bentuk yang lebih berani dan berbeza daripada jenama lain di pasaran ketika ini.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?