Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 bakal kembali memeriahkan industri automotif tempatan menerusi edisi ke-11 yang dijangka berlangsung lebih besar, lebih meriah dan lebih futuristik berbanding sebelum ini. Acara berprestij itu akan berlangsung selama 10 hari bermula 12 hingga 21 Jun 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
Mengangkat tema “Beyond Mobility”, KLIMS 2026 dijangka menjadi platform utama yang menghimpunkan pengeluar automotif global dan tempatan, pemain industri, agensi kerajaan serta pengguna bagi melihat sendiri perkembangan terkini dalam dunia mobiliti moden termasuk teknologi elektrifikasi, mobiliti pintar dan pengangkutan lestari.
Menurut Presiden Malaysian Automotive Association (MAA), Mohd Shamsor bin Mohd Zain, industri automotif Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah keseluruhan industri atau Total Industry Volume (TIV) mencecah 820,752 unit sepanjang tahun 2025.
Beliau berkata, pertumbuhan tersebut membuktikan daya tahan industri automotif negara selain didorong oleh perkembangan teknologi yang semakin pesat serta sokongan kerajaan terhadap pembangunan ekosistem mobiliti masa depan yang lebih mampan.
“Industri automotif negara terus berkembang dengan kukuh dan menunjukkan momentum yang memberangsangkan. Dengan sokongan kerajaan terhadap teknologi hijau, elektrifikasi dan pembangunan industri tempatan, kami mahu menjadikan KLIMS 2026 sebagai edisi paling signifikan setakat ini,” katanya.
KLIMS 2026 Tampil Lebih Besar Dan Interaktif
Tidak seperti pameran automotif biasa, KLIMS 2026 kali ini dijangka menawarkan pengalaman lebih menyeluruh kepada pengunjung termasuk peminat kereta, keluarga serta orang awam yang ingin melihat sendiri evolusi dunia mobiliti.
Acara itu bakal berlangsung di tujuh dewan pameran dengan keluasan hampir 30,000 meter persegi dan dijangka menarik lebih 200,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.
Antara tarikan utama ialah pelancaran model baharu daripada pelbagai jenama automotif terkenal selain konsep kereta futuristik yang bakal dipertontonkan kepada umum buat pertama kali.
Lebih menarik, KLIMS 2026 turut memperkenalkan “Urban Play”, sebuah laluan halangan khas yang direka untuk menguji kuasa, ketepatan dan kawalan kenderaan dalam suasana lebih interaktif.
Selain itu, acara berkenaan juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti hiburan dan gaya hidup menerusi kerjasama bersama Riuh pada hujung minggu terakhir pameran.
Pengunjung dijangka disajikan dengan persembahan artis tempatan terkenal seperti Kyoto Protocol, Adrian Danial dan TY:DEL selain persembahan drumline, tarian fusion dan rakaman langsung podcast automotif.
Lebih 60 Kereta Test Drive Menanti Pengunjung
Bagi peminat automotif, KLIMS 2026 turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk cabaran simulator perlumbaan dan penerbangan, Modified Car Battle, trek kereta kawalan jauh serta kawasan khas komuniti hobi tempatan.
Apa yang pasti, pengunjung juga berpeluang mencuba lebih 60 buah kenderaan menerusi sesi pandu uji yang disediakan sepanjang acara berlangsung.
Tidak cukup dengan itu, lebih 200 buah kereta daripada pelbagai kelab automotif turut akan dipamerkan di acara berkenaan.
Pelbagai Jenama Automotif Besar Sertai KLIMS 2026
KLIMS 2026 bakal menghimpunkan pelbagai jenama automotif antarabangsa dan tempatan termasuk Honda, Toyota, Proton, Perodua, Mazda, Hyundai, Kia, MG Motor, XPENG dan Zeekr.
Turut mengambil bahagian ialah beberapa jenama dari China yang semakin agresif memasuki pasaran Malaysia seperti Jetour, GWM, Dongfeng dan Wuling.
Selain kenderaan, pelbagai syarikat aksesori automotif dan perkhidmatan berkaitan turut akan memeriahkan acara tersebut.
Tiket Serendah RM15, Ada Pas Tanpa Had
Dari segi harga tiket, KLIMS 2026 menawarkan beberapa pilihan menarik kepada pengunjung.
Kemasukan adalah percuma pada hari bekerja bagi kategori dewasa, pelajar, warga emas dan OKU. Namun bagi hari Jumaat, hujung minggu dan cuti umum, tiket dewasa dijual pada harga RM30 manakala warga emas, pelajar dan OKU hanya RM15.
Bagi mereka yang mahu menikmati pengalaman penuh sepanjang acara berlangsung, pas akses tanpa had ditawarkan pada harga RM80 sahaja.
Pengunjung juga boleh mendapatkan pas berkumpulan lima orang pada harga RM100.
Akses Ke MITEC Lebih Mudah
Bagi memudahkan orang ramai hadir ke acara berkenaan, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai kemudahan pengangkutan termasuk shuttle bus dari MRT Titiwangsa dan LRT Pasar Seni.
Selain itu, van shuttle turut disediakan dari beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur termasuk MATRADE, Publika, MITI, Stadium Hoki Nasional dan Hyatt Midtown.
KLIMS 2026 dianjurkan oleh Malaysian Automotive Association dan dikendalikan oleh Qube Integrated Malaysia dengan kerjasama beberapa agensi utama negara termasuk Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA).
Acara itu juga diiktiraf di bawah kempen “Meet in Malaysia” oleh Malaysia Convention & Exhibition Bureau serta kempen Visit Malaysia 2026.