SUBANG – Syarikat penerbangan Berjaya Air menzahirkan keyakinan untuk memantapkan lagi segmen pengangkutan udara eksklusif di rantau ini melalui pengenalan pesawat ATR 72-600 HighLine terbaharu.
Pesawat tersebut dilengkapi dengan susunan tempat duduk kelas perniagaan yang mewah dengan kapasiti terhad kepada 26 orang penumpang sahaja.
Menurut Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan Syarikat Berjaya Aviation, Datuk Chester Voo, satu lagi unit pesawat yang sama dijadualkan bakal diterima pada Oktober akan datang bagi merancakkan lagi skala operasi syarikat.
“Industri penerbangan ketika ini berdepan cabaran besar termasuk kenaikan harga bahan api, kos operasi tinggi dan kekangan rantaian bekalan global. Berjaya Air sedang mengautomasikan sistem operasi, mempermudah proses digital serta menggunakan pesawat yang lebih cekap bahan api iaitu ATR 72-600,” katanya.
Beliau menjelaskan perkara tersebut sejurus selepas majlis pelancaran pesawat ATR HighLine terbaharu berkenaan di sini, semalam.
Menurut beliau, pesawat itu akan digunakan bagi menghubungkan destinasi dalam tempoh perjalanan sekitar dua jam setengah dari Lapangan Terbang Subang.
Antara lokasi yang terlibat dalam rangkaian tersebut termasuklah Koh Samui, Medan, Batam serta Pulau Redang.
Dalam pada itu, Berjaya Air juga merancang untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan istimewa bersempena dengan musim perayaan utama seperti Aidiladha dan Aidilfitri.
Laluan perkhidmatan itu bakal merangkumi perjalanan ke Alor Setar serta beberapa destinasi terpilih lain di sekitar Semenanjung Malaysia.
Pesawat berkenaan dijangka akan melaksanakan rutin harian antara empat hingga enam penerbangan bagi setiap unit pesawat.
“Jumlah itu dijangka meningkat kepada 10 penerbangan sehari selepas pesawat kedua diterima. Harga tiket yang ditawarkan dijangka lebih rendah berbanding tambang kelas perniagaan syarikat penerbangan tradisional,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Berjaya Air mengoperasikan pesawat model ATR 500 dan kini sedang giat menaik taraf keseluruhan operasi kepada model ATR 72-600 HighLine bagi menyokong pelan pertumbuhan strategik baharu syarikat.
Sumber: Berita RTM
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?