Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia mengumumkan penangguhan sementara bagi semua urusan Tukar Hak Milik (THM) menerusi saluran dalam talian bermula 25 Mei 2026.
Menurut kenyataan rasmi JPJ, penangguhan itu melibatkan semua platform berkaitan termasuk portal awam, kiosk layan diri serta perkhidmatan rakan niaga seperti MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Tindakan tersebut diambil susulan aduan rasmi serta laporan tular di media sosial berkaitan kes pertukaran hak milik kenderaan yang didakwa berlaku tanpa pengetahuan pemilik asal. JPJ memaklumkan pihaknya memandang serius isu berkenaan demi memastikan keselamatan dan integriti rekod pendaftaran kenderaan terus terpelihara.
Susulan itu, semua urusan THM bagi kategori persendirian individu dan syarikat kini perlu dilakukan secara fizikal di kaunter JPJ.
Bagi kategori persendirian individu, proses pertukaran hak milik boleh diselesaikan pada hari sama di semua Pejabat JPJ Negeri dan cawangan. Namun bagi kategori persendirian syarikat, proses semakan dan kelulusan dijangka mengambil masa antara lima hingga tujuh hari bekerja selepas dokumen lengkap diserahkan.
Dalam masa sama, JPJ memaklumkan hanya Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) di bawah eAuto masih beroperasi seperti biasa, manakala sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan buat sementara waktu.
Sehubungan itu, mana-mana pihak termasuk wakil syarikat kenderaan terpakai yang ingin melakukan urusan eSTM perlu hadir sendiri ke Pejabat JPJ Negeri atau cawangan berhampiran.
JPJ turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menyemak dan mengemaskini maklumat kenderaan masing-masing dalam sistem bagi mengelakkan sebarang penyalahgunaan atau isu berkaitan hak milik kenderaan.
Sumber: VOCKET
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?