Presiden Russia, Vladimir Putin, menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas kehadiran Seri Paduka Baginda ke Moscow sempena sambutan Hari Kemenangan bulan lalu, kata Duta Russia ke Malaysia, Naiyl Latypov.
Beliau berkata, hubungan antara Russia dan Malaysia terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan, yang dapat dilihat menerusi peningkatan penglibatan serta dialog di peringkat kepimpinan tertinggi kedua-dua negara.
Latypov menyifatkan jemputan tersebut sebagai satu penghormatan besar memandangkan Sultan Ibrahim merupakan Ketua Negara Malaysia pertama yang dijemput sebagai Tetamu Kehormat bagi menghadiri sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan ke-81 di Moscow.
Malah, dalam pertemuan empat mata di Kremlin pada 9 Mei lalu, Seri Paduka Baginda turut mengambil peluang mengundang Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada tahun 2027 sempena sambutan Jubli Intan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
“Kerjasama kita merangkumi pelbagai bidang daripada perdagangan, pelaburan dan tenaga sehinggalah kepada pelancongan, pertukaran budaya serta kemanusiaan,” kata beliau yang turut memetik peribahasa Melayu ‘ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni’ bagi menggambarkan semangat solidariti antara kedua-dua negara ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Russia semalam.
Selain pengukuhan hubungan dua hala, Russia dan Malaysia berkongsi pendirian yang selari dalam pelbagai isu serantau serta antarabangsa dengan mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang antarabangsa dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain.
Sinergi ini bakal diperkukuh menerusi kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Sidang Kemuncak Russia-ASEAN di Kazan pada pertengahan Jun ini, disusuli mesyuarat dua hala di Langkawi pada Ogos depan yang akan memfokuskan kepada kerjasama sektor pendidikan tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa kementerian akan mengetuai mesyuarat dua hala Malaysia-Russia yang dijadualkan berlangsung di Langkawi pada Ogos nanti.
Antara bidang yang akan diberikan tumpuan termasuklah kerjasama pendidikan, khususnya dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat tinggi.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?