NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Serangan Dron Di Lapangan Terbang Kuwait Cetus Ketegangan Baharu AS Dan Iran

Serangan Dron Di Lapangan Terbang Kuwait Cetus Ketegangan Baharu AS Dan Iran

Situasi politik di Timur Tengah kembali panas selepas terminal penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait dilaporkan rosak teruk akibat dibedil oleh serangan dron.

Insiden yang berlaku pada Rabu itu telah meragut nyawa seorang warga India serta mencederakan puluhan individu lain.

Kejadian ini sekali gus menjadi ujian besar kepada perjanjian gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS), Israel, dan Iran yang baru sahaja bermula sejak April lalu selepas konflik bersenjata mereka memasuki bulan keempat.

Terminal Baru Dibuka Alami Kerosakan Besar Akibat Impak Letupan

Jurucakap Kementerian Pertahanan Kuwait, Brigedier Jeneral Saud Abdulaziz Al-Otaibi menjelaskan bahawa serangan dron tersebut menyasarkan bangunan terminal penumpang yang sebenarnya baru sahaja dibuka semula pada Isnin lalu selepas ditutup berbulan-bulan akibat perang serantau.

Bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak berkuasa penerbangan awam turut menunjukkan sebuah objek berbentuk segi tiga seperti dron merempuh bangunan tersebut sebelum meletup.

Impak rempuhan kuat itu bukan sahaja memusnahkan struktur bangunan malah mencederakan seramai 63 orang termasuk penumpang dan pekerja lapangan terbang.

Iran Nafi Terlibat Tetapi Kuwait Ambil Tindakan Tegas Usir Diplomat

Walaupun Komando Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan dron tersebut milik Iran, pihak Pengawal Revolusi Iran (IRGC) sebaliknya menafikan tuduhan itu dan mendakwa kerosakan berpunca daripada kegagalan peluru pemintas buatan AS.

Bagaimanapun, pihak Iran tidak menunjukkan sebarang bukti bagi menyokong kenyataan mereka.

tanda protes dan bagi menjaga kedaulatan negara, kerajaan Kuwait telah mengambil tindakan tegas dengan mengusir dua orang diplomat Iran keluar dari negara mereka.

Sistem Pertahanan Udara Berjaya Pintas Serangan Di Kuwait Dan Bahrain

Dalam pada itu, pihak tentera AS memaklumkan sistem pertahanan udara mereka bersama Bahrain telah berjaya menghalang beberapa siri serangan dron dan peluru berpandu lain daripada terkena sasaran.

Pihak Iran mengaku mereka ada melancarkan serangan ke arah pusat tentera laut AS di Bahrain dan beberapa kemudahan ketenteraan Amerika sebagai membalas dendam terhadap serangan AS di Pulau Qeshm sebelum ini.

Kawasan Selat Hormuz kini menjadi semakin sensitif kerana ia merupakan laluan utama bagi perdagangan minyak dan gas dunia.

Rundingan Damai Masih Berjalan Walau Berdepan Jalan Buntu

Presiden AS, Donald Trump memaklumkan bahawa usaha untuk mengekalkan gencatan senjata masih lagi diteruskan oleh pihak mereka walaupun serangan balas daripada kedua-dua belah pihak masih berlaku.

Usaha damai ini bagaimanapun menjadi agak sukar ekoran konflik yang masih berterusan antara Israel dan kumpulan Hizbullah di Lubnan.

Iran mahu serangan Israel di Lubnan dihentikan sebagai syarat perjanjian damai, namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mahu isu tersebut diasingkan daripada rundingan utama dengan Iran.

Sumber: Sinar Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD