NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Varian Premium BYD ATTO 3 2026 Kini Dilancarkan Di Malaysia

Varian Premium BYD ATTO 3 2026 Kini Dilancarkan Di Malaysia

BYD Sime Motors secara rasminya melancarkan versi naik taraf bagi SUV elektrik popular mereka iaitu BYD ATTO 3 versi 2026 sempena acara Sime Motors Motor Expo 2026.

Malaysia menjadi negara pertama di rantau Asia Pasifik yang menerima model kemas kini ini.

Langkah ini mengukuhkan lagi posisi BYD sebagai jenama kenderaan elektrik (EV) nombor satu di Malaysia dengan jualan terkumpul melebihi 32,000 unit, di mana model ATTO 3 kekal menjadi penyumbang terbesar sejak mula dijual pada penghujung tahun 2022.

Perubahan Mekanikal Dan Spesifikasi Dua Varian Baharu

Model naik taraf ini ditawarkan dalam dua varian utama iaitu Ultra dan Premium dengan membawakan beberapa perubahan spesifikasi yang ketara.

Varian Premium

BYD ATTO 3

BYD ATTO 3 PREMIUM FACELIFT

Varian tertinggi iaitu Premium kini beralih kepada sistem pacuan roda belakang yang dikuasakan oleh bateri Blade LFP berkapasiti 74.88 kWh.

Rangkaian kuasa ini menghasilkan output sebanyak 230kW dan tork setinggi 380 Nm, sekali gus membolehkan jentera memecut dari sifar ke 100 kilometer sejam dalam masa hanya 5.5 saat.

Jarak pemanduan maksimum bagi varian Premium kini meningkat sehingga 600 kilometer dengan sekali cas penuh serta menyokong sistem pengecasan pantas DC sehingga 220kW.

Model ini juga menawarkan ruang kargo maksimum 1,360 liter bersama tambahan ruang bonet hadapan sebanyak 101 liter dan dilengkapi dengan tujuh beg udara keselamatan.

Varian Ultra

BYD ATTO 3

BYD ATTO 3 ULTRA FACELIFT

Bagi varian Ultra pula, ia mengekalkan sistem pacuan roda hadapan dengan padanan bateri Blade berkapasiti 60.48 kWh.

Sistem enjin ini menjana kuasa sekitar 150kW dan tork 310 Nm, dengan rekod masa pecutan sifar ke 100 kilometer sejam dalam tempoh 7.3 saat.

Jarak perjalanan bagi varian Ultra adalah sejauh 480 kilometer dengan sokongan pengecasan pantas DC sehingga 110kW.

Dari segi praktikaliti, ia menawarkan ruang bagasi sehingga 1,340 liter serta dilengkapi dengan enam beg udara keselamatan.

Kedua-dua varian berkongsi dimensi fizikal yang sama serta dilengkapi dengan skrin infotainmen bersaiz 15.6 inci dan bumbung kaca panoramik.

Harga Jualan Kompetitif Dan Pakej Menarik Pembeli Awal

Untuk pasaran tempatan, varian asas BYD ATTO 3 Ultra ditawarkan pada harga RM125,800 manakala varian tertinggi iaitu Premium pula dijual pada harga RM138,800.

Sempena pelancaran versi kemas kini ini, BYD Sime Motors turut menawarkan pakej eksklusif bernilai sehingga RM14,000 untuk pelanggan yang membuat tempahan awal.

Pakej ini merangkumi tawaran nilai tukar beli kenderaan sebanyak RM10,000 terhad kepada 500 pelanggan pertama, serta pilihan pengecas dinding percuma berserta pemasangan standard atau pakej servis standard selama Kami tahun.

Setiap kenderaan turut dilindungi oleh jaminan menyeluruh selama enam tahun atau 150,000 kilometer, jaminan bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 kilometer, serta jaminan unit pemanduan bagi tempoh yang sama.

Orang awam boleh melihat model naik taraf ini secara dekat di acara Sime Motors MotorExpo 2026 yang berlangsung di XOX Arena, Kuala Lumpur sehingga 7 Jun ini.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD