NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

JPJ Tahan Pemandu Rohingya Selepas Cubaan Melarikan Diri Dari Pemeriksaan

JPJ Tahan Pemandu Rohingya Selepas Cubaan Melarikan Diri Dari Pemeriksaan

SUNGAI PETANI: Cubaan seorang lelaki etnik Rohingya melarikan diri daripada pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berakhir apabila kereta yang dipandunya berjaya dipintas dan ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan, semalam.

Kejadian berlaku ketika Ops PEWA dijalankan di Kilometer 1, Jalan Padang Temusu apabila sebuah Perodua Kelisa tiba-tiba memecut selepas pemandunya dipercayai menyedari kehadiran anggota penguat kuasa JPJ.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki warga asing berusia sekitar 45 tahun itu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang sah untuk memandu di Malaysia.

Menurut beliau, siasatan turut mendapati pemandu berkenaan melakukan beberapa kesalahan lalu lintas termasuk gagal memberi isyarat ketika membelok ke kiri, tidak berada di lorong kiri semasa membelok serta memandu tanpa kawalan yang sewajarnya.

Selain tiga kesalahan pemanduan itu, kenderaan berkenaan turut dikesan melakukan dua kesalahan teknikal.

“Siasatan mendapati lelaki terbabit sedang menunggu rakannya di sebuah kedai makan sebelum bertindak memecut apabila menyedari kehadiran pegawai JPJ di belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, Perodua Kelisa berkenaan disita dan dibawa ke Depoh Sita Stesen Penguatkuasa JPJ Kuala Ketil bagi tindakan lanjut.

Dalam pada itu, pemilik kenderaan turut dikenakan tindakan dan diarahkan hadir ke mahkamah kerana membenarkan individu yang tidak memiliki lesen memandu menggunakan kenderaannya.

Stien berkata, JPJ Kedah menegaskan bahawa sebarang cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan tidak akan menghalang tindakan penguatkuasaan.

Beliau turut menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.

Sumber: Harian Metro

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy