MELAKA – Cubaan seorang lelaki warga Rohingya membawa sebuah MPV mewah Toyota Vellfire berakhir dengan kenderaan itu disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dia gagal menunjukkan lesen memandu yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan di Melaka, semalam.
Lelaki berusia 61 tahun itu yang juga pemegang kad United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) ditahan ketika operasi dijalankan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Peringit.
Menurut Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop, operasi tersebut berlangsung bermula jam 4.30 petang sehingga tengah malam dan memberi tumpuan terhadap pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk lesen memandu serta cukai jalan tamat tempoh.
Beliau berkata, ketika diperiksa anggota penguat kuasa, lelaki terbabit mendakwa dia berada dalam keadaan tergesa-gesa kerana mahu membawa isterinya ke hospital akibat sakit perut.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah untuk memandu di negara ini.
“Susulan kesalahan itu, pihak JPJ telah mengeluarkan Notis Saman P22 selain menyita kenderaan tersebut di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Siasatan lanjut terhadap dokumen kenderaan berkenaan turut menemukan beberapa pelanggaran lain membabitkan status pendaftaran dan lesen kenderaan.
MPV mewah tersebut dilaporkan didaftarkan atas nama seorang lelaki warga Myanmar, manakala pemilik asal hanya mempunyai Lesen Memandu Percubaan (PDL) Kelas D yang masih aktif.
Selain itu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan bagi Toyota Vellfire itu juga didapati telah tamat tempoh sejak 16 Mei lalu walaupun perlindungan insuransnya masih aktif sehingga November depan.
Dalam operasi sama, JPJ turut menyita enam lagi kenderaan mewah lain atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Kesemua kenderaan yang disita dianggarkan bernilai keseluruhan sekitar RM1.5 juta.
Antara kesalahan utama yang dikesan termasuk memandu tanpa lesen sah, cukai jalan tamat tempoh serta kegagalan memiliki perlindungan insurans.
Semua kenderaan yang disita kini ditempatkan di Depoh Sita JPJ Melaka di Bukit Katil bagi tujuan siasatan lanjut dan proses dokumentasi.
JPJ turut menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya termasuk melibatkan warga asing.
Operasi penguatkuasaan seperti itu akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin selain memastikan semua pemandu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Sumber: VOCKET
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?