Polis kini sedang memburu pemandu pikap trak jenis Mistsubishi Triton berwarna putih yang berjaya melarikan diri dari sekatan polis malam kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, suspek telah bertindak agresif kepada anggota polis ketika sedang cuba untuk melarikan diri dari sekatan jalan raya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar jam 8.50 malam ketika dua anggota polis sedang bertugas di laluan bas.
“Polis menahan kenderaan suspek yang didapati menggunakan laluan tidak dibenarkan. Suspek memandu melarikan diri sejauh tujuh kilometer dan dikejar dua motosikal polis trafik serta lima kereta peronda (MPV).
“Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek tiba-tiba memecut dan melarikan diri secara berbahaya sebelum meninggalkan kenderaan di tepi jalan dan melarikan diri ke kawasan semak.
“Pemeriksaan kenderaan yang ditinggalkan menemui sebatang kayu golf dan sebilah pisau berukuran 18 sentimeter,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai 8 rekod jenayah lampau yang membabitkan pelbagai jenis kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Suspek kini sedang diburu oleh pihak polis dan telah didaftarkan sebagai orang dikehendaki polis. Sebelum ini, telah tular sebuah video berdurasi 14 saat yang memaparkan sebuah pikap trak berwarna putih sedang mengundur untuk melarikan diri dan cuba untuk mengelak dari seorang individu yang cuba untuk memberhentikan kenderaan terbabit.