Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini telah membuka tempahan untuk model generasi keenam pikap trak mereka iaitu Triton Serba Baharu, yang dijangka akan dilancarkan ke dalam pasaran Malaysia tak lama lagi. 5 varian akan ditawarkan bermula dari Single Cab high-rider baru hinggalah ke varian paling tinggi, Triton Athlete, dengan harga anggaran bermula dari RM102,000 sehingga RM170,000.
Model ini berukuran 5,360 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,815 mm tinggi dengan jarak antara roda 3,130 mm. Ia memiliki ruang kargo belakang yang paling besar dalam segmennya dengan 2,340 mm panjang dan 1,580 mm lebar.
Bagi varian Single Cab, ia didatangkan dengan enjin turbodiesel 2.4 liter digandingkan bersama transmisi 6MT, serta ciri pacuan empat roda yang mampu menjana kuasa 184 PS dan 430 Nm tork. Bagi varian Athlete pula, ia menerima peningkatan pada janaan kuasanya iaitu 204 PS dan 470 Nm tork.
Enam perubahan utama yang dapat dilihat pada Triton serba baharu ini iaitu rekaannya yang kini lebih garang, prestasi enjin yang telah dipertingkat, saiz badan yang lebih besar, keselamatan yang telah dipertingkat, keselesaan seperti memiliki sebuah SUV dan kecekapan mengendalikan.
Triton serba baharu ini kini tampil dengan 4 mod pemanduan baharu dengan sistem pacuan empat rodanya iaitu 2H, 4H, 4HLc dan 4LLc. Selain itu, ia kini dilengkapi dengan ciri Active Yaw Control (AYC) yang membantu ketika sedang memandu di selekoh.
Bagi sistem keselamatan pula, ia dilengkapi dengan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS)yang terdiri daripada Forward Collision Mitigation (AEB), Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Adaptive Cruise Control.
500 pelanggan terawal yang mendaftar tempahan secara dalam talian di Mitsubishi Online Showroom akan menerima kotak simpanan barang 60L bernilai RM450 secara percuma.