Honda Malaysia telah melancarkan sebuah model SUV Serba Baharu iaitu Honda CR-V Generasi ke-6 dan mengumumkan harga rasmi pada hari ini di Kuala Lumpur Convention Centre. CR-V Serba Baharu ini dikuasakan oleh enjin e:HEV 2.0L dan didatangkan dengan ciri-ciri terbaharu iaitu Sistem Audio Premium Bose dengan 12 pembesar suara, Paparan Pandu (HUD) dan Kad Kunci Pintar.
CR-V ini berukuran 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar dan 1,681 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,701 mm. Dengan slogan ‘The Ultimate SUV’, CR-V ini didatangkan dengan sejumlah 5 warna, termasuk Canyon River Blue Metallic (Biru), Platinum White Pearl (Putih), Lunar Silver Metallic (Perak), Meteoroid Gray Metallic (Kelabu) dan Ignite Red Metallic (Merah).
Bagi kapasiti enjin 1.5 liter, CR-V ini mampu menghasilkan 243 Nm pada 1700 – 5000 rpm. Manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 193 Ps pada 6000 rpm. Bagi enjin e:HEV 2.0L pula, ia mampu menghasilkan 335 Nm pada 2000 rpm. Manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 184 Ps pada 5000 – 8000 rpm.
Empat jenis varian telah dilancarkan untuk jualan iaitu 1.5L S, 1.5L E, 1.5L V AWD dan 2.0L e:HEV. CR-V Generasi ke-6 ini juga telah diangkat sebagai yang paling besar dalam segmen SUV kerana ruang kargonya. Kapasiti ruang but kini sebesar 589 liter dengan kerusi belakang didirikan, dan bertambah kepada 1,072 liter apabila kerusi dibaringkan.
Harga On-The-Road (Tanpa insurans) Honda CR-V bagi varian 1.5L S, 1.5L E dan 1.5L V AWD dengan cukai jualan dan perkhidmatan ialah:
CR-V (S) : RM 159,900
CR-V (E) : RM 169,900
CR-V (V) : RM 181,900
Bagi varian e:HEV RS hanya akan tersedia pada awal 2024, dan Honda Malaysia akan mengumumkan harga apabila tempoh penghantaran semakin hampir.
Sempena meraikan ulang tahun Honda yang ke-75 dan 20 tahun sejak model pertama CR-V dikeluarkan di Melaka, CR-V Serba Baharu Varian S ditawarkan pada harga RM157,900 tetapi hanya terhad kepada 750 unit untuk pelanggan yang terawal.