Daihatsu dilihat bakal berdepan dengan masalah kewangan selepas menghentikan produksinya buat sementara waktu disebabkan skandal ujian keselamatan skandal ujian keselamatan tempoh hari. Menurut laporan Nikkei Asia, Daihatsu dianggar akan mengalami kerugian bernilai lebih dari 100 bilion yen (RM3.2 bilion) bukan sahaja kerana penutupan kilang, malah melibatkan bayaran pampasan kepada pembekal-pembekalnya.
Menerusi kenyataan Daihatsu sebelum ini, mereka menjangka penangguhan tersebut akan berlangsung sehingga akhir Januari 2024. Walau bagaimanapun, tarikh tepat masih belum diketahui lagi bila. Berbeza di Indonesia dan Malaysia, produksi dan penghantaran kereta baru telah disambung kembali kepada semua pelanggan.
Di samping kehilangan jualan domestiknya sendiri, Daihatsu akan berunding dengan pembekal mengenai pampasan yang akan diberikan kepada mereka kerana kehilangan pendapatan, dan ia dijangka memakan kos yang tinggi. Selain itu, pelbagai perbelanjaan lain yang melibatkan penyiasatan dan ujian keselamatan tambahan turut akan dimasukkan ke dalam tambahan kos tersebut.
Kementerian pengangkutan Jepun kini sedang menjalankan siasatannya sendiri dan telah mengarahkan Daihatsu untuk menghentikan penghantaran sehingga keselamatan kenderaannya dapat disahkan, satu proses yang mungkin berlarutan selama berbulan-bulan. Selain itu, syarikat itu boleh menghadapi penalti lain, termasuk pembatalan pensijilan yang diperlukan untuk pengeluaran besar-besaran.
Sumber : paultan, Nikkei