Selain mengumumkan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) menerusi aplikasi MyJPJ, orang ramai turut boleh berkongsi e-LKM atau cukai jalan digital sesama ahli keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.
Hal ini telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa fungsi baharu ini membolehkan pemilik kenderaan berkongsi cukai jalan digital dengan sesiapa sahaja yang memandu kenderaan miliknya. Pemilik kenderaan hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian dengan individu lain.
Tambahnya lagi, fungsi ini mempunyai tempoh had masa perkongsian yang akan ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada individu tersebut untuk mengaktifkan perkongsian. Sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh masa 24 jam, sistem akan menghapuskan rekod perkongsian yang telah ditetapkan.
Sambungnya, “Sebagai contoh, Encik Ahmad berhasrat menggunakan kenderaan milik ayahnya dalam tempoh satu minggu. Sebelum menggunakan kenderaan tersebut, ayahnya boleh membuat perkongsian e-LKM kepada anaknya melalui fungsi ‘Kongsi LKM’ di aplikasi MyJPJ.”
Sebelum ini, pelbagai persoalan telah timbul apabila pengguna e-LKM memandu kenderaan bukan miliknya atau ahli keluarga dan perlu mencetak e-LKM tersebut ataupun tidak. Disebabkan itu, penambahbaikan dan fungsi baharu ini telah ditambah supaya dapat memudahkan semua pengguna.
Sumber : Paultan