passionately driven

Mulai 1 Feb, Cukai Jalan dan Lesen Memandu Boleh Diperbaharui Melalui Aplikasi MyJPJ

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan bahawa mulai 1 Februari 2024, orang ramai boleh memperbaharui LKM dan lesen memandu menerusi aplikasi MyJPJ. Format baharu telah diperkenalkan bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan juga Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Pada peringkat permulaan, pelaksanaan urus niaga pembaharuan LKM akan dilaksanakan secara berfasa melalui aplikasi MyJPJ dan hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara). Orang awam boleh memperbaharui LKM dan LMM secara digital dengan pertambahan fungsi baharu ini dan sekaligus dapat menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga bersemuka di kaunter-kaunter JPJ, kata beliau dalam sidang media di JPJ Padang Jawa, Shah Alam, pagi tadi.

Rebat sebanyak RM5 akan diberikan kepada mereka yang memilih Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) bagi menggalakkan penggunaan e-LMM. Rebat ini boleh dinikmati sepanjang tahun 2024 iaitu bermula dari 1 Februari hingga 31 Disember 2024. Inisiatif ini terpakai di semua kaunter JPJ, portal mySIKAP, aplikasi MyJPJ atau rakan niaga JPJ iaitu Pejabat Pos Malaysia dan MyEG Services Berhad bagi mereka yang memilih e-LMM semasa pembaharuan.

Walau bagaimanapun, bagi warganegara asing atau mana-mana pemegang pas atau permit jangka masa panjang tidak mendapat inisiatif untuk memperbaharui LKM dan LMM secara digital.

Jelasnya lagi, berdasarkan kajian dan analisa statistik sepanjang tahun 2023 telah menunjukkan bilangan pemandu dan pemilik yang memilih digitalisasi semakin meningkat. Bagi pemandu dan pemilik yang masih memilih untuk menggunakan kad fizikal, mereka masih boleh memilikinya pada tahun 2024. JPJ Malaysia akan mengeluarkan LKM dan LMM fizikal berbentuk baharu dan diseragamkan bagi tujuan penyesuaian dalam tempoh interim.

“Selepas ini, pengeluaran LKM dan slip LMM fizikal adalah dalam bentuk kertas keselamatan sahaja. LKM yang baharu ini tidak perlu dilekat atau dipamerkan pada cermin kenderaan sepertimana keperluan Seksyen 20 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sebelum ini. Sebaliknya, ia disimpan mengikut kesesuaian orang awam. Slip LKM ini adalah tidak wajib dan bertujuan untuk memberi masa kepada mereka yang masih perlu menyesuaikan diri dengan sistem digital,” jelas Loke.

Mana-mana pemandu yang memandu kenderaan tanpa LKM dan LMM yang sah akan sentiasa dikenakan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, tegas beliau. Untuk maklumat lanjut bagi proses pembaharuan LKM dan LMM secara digital, orang ramai boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) yang disediakan atau hubungi talian khidmat pelanggan JPJ.

 

Sumber : paultan

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD