Selain Jaecoo J7 yang telah diperlihatkan beberapa hari lepas, Jaecoo J8 turut diperlihatkan bersama buat pertama kali di Malaysia. Ia dijangka akan dilancar secara rasmi pada suku keempat tahun ini dan model ini turut dirujuk sebagai Chery Tiggo 9 di pasaran lain.
Dengan anggaran harga RM200,000, J8 ini berukuran 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,820 mm. Jaecoo J8 ini didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbocas empat-silinder petrol dan mampu menghasilkan 385 Nm manakala output maksimum yang dihasilkan untuk kuasa adalah 249 Ps.
Walau bagaimanapun, unit yang ditunjukkan ini adalah unit untuk pasaran luar negara di mana tempat duduk pemandu berada di sebelah kiri kenderaan. Namun, ciri dan spesifikasi yang ada adalah sama dengan apa yang bakal mereka tawarkan untuk pasaran Malaysia. Antaranya ialah rim aloi 20-inci, lampu utama LED, paparan 12.3-inci digital di dalam, sistem pendingin dua zon dengan corong belakang serta paparan head-up display.
Didatangkan dengan dua konfigurasi tempat duduk iaitu dua atau tiga baris, J8 ini ditawarkan dengan tiga versi tempat duduk sama ada lima, enam atau tujuh untuk SUV berkenaan. Lain-lain kelengkapan yang kelihatan ialah balutan kulit, kerusi depan larasan kuasa, sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara, pengecas tanpa wayar dengan ciri penyejuk, bumbung panoramik yang luas, lampu suasana dan pintu ruang barangan berkuasa.
Sebarang pertanyaan dan maklumat terkini mengenai Jaecoo J8, sila ikuti laman Facebook rasmi Jaecoo. Sama-sama kita nantikan pelancarannya dan anggaran harga bagi SUV premium ini.
Sumber: Paultan