Samsung telah mengumumkan mereka akan berkolaborasi dengan dua jenama automotif iaitu Tesla dan Hyundai untuk meningkatkan pengalaman pengguna aplikasi Samsung Smart Things.
Smart Things, salah satu aplikasi dari Samsung membenarkan pengguna untuk mengawal peranti pintar, gajet atau peralatan dengan mudah menggunakan aplikasi tersebut.
Semak Status Kereta Tesla Melalui Samsung Smart Things
Bakal dipamerkan di Consumer Electronics Show (CES) 2024, Samsung telah mengumumkan bahawa integrasi perkhidmatan dengan Tesla telah diwujudkan untuk menghubungkan SmarThings Energy kepada Produk Tesla. Antara produk Tesla yang boleh dihubungkan melalui aplikasi Smart Things adalah Solar Inverter, bateri rumah Power Wall, kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian pengecasan penyambung dinding.
Ini membolehkan SmarThings Energy menunjukkan maklumat yang berkaitan dengan pengeluaran, penyimpanan dan penggunaan tenaga pengguna. Pengguna juga boleh mendapat notifikasi di TV atau telefon bimbit Samsung yang disambungkan tentang keadaan cuaca semasa sebagai tambahan kepada fungsi “Storm Watch” Tesla Powerwall.
Perkhidmatan sebenar masih dalam proses Research & Development (R&D) dan akan mula ditunjukkan pada CES 2024 dan disasarkan untuk dilancarkan pada suku kedua 2024.
Kawal Kenderaan Elektrik (EV) Hyundai Dari Dalam Rumah
Selepas Samsung dan Hyundai menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) pada 3 Januari yang lalu, Samsung telah mengumumkan kerjasama mereka untuk membangunkan penyelesaian mengawal kenderaan elektrik (EV) dari dalam rumah.
Bagi menghubungkan rumah pintar dan sistem infotainment di dalam kenderaan dalam kawalan jauh di kedua-dua arah, perkhidmatan Rumah-Ke-Kereta dan Kereta-Ke-Rumah akan digunakan. Antara perkara yang pengguna boleh lakukan semasa di rumah adalah menghidupkan kereta, mengawal penghawa dingin pintar, membuka dan menutup tingkap dan menyemak status peratusan bateri mereka.
Melalui rutin seperti “rutin selamat pagi” dan “rutin tiba di rumah”, pengguna akan dapat mengendalikan peranti secara serentak di antara persekitaran mereka dengan aplikasi SmarThings.
Sumber : Careta