Telah bocor gambar model Aion S Plus di jalan raya Malaysia sedang dipandu uji dan kami telah mengesahkan bahawa jenama EV dari China ini akan masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi. GAC Aion di China telah melantik Tan Chong Warisan TC sebagai satu-satunya pengedar sah untuk kenderaan elektrik di Malaysia.
Telah dilaporkan oleh The Edge, di dalam pemfailan bursa telah dinyatakan bahawa peranan Warisan TC adalah mengimport, mengedar, menjual dan melakukan servis selepas jualan untuk semua EV GAC Aion di Malaysia. Perjanjian ini adalah selama tiga tahun.
Telah ditubuhkan pada tahun 2017, jenama Aion ini dimiliki oleh GAC Aion New Energy Automobile, di mana ia merupakan anak syarikat kepada GAC Group. Warisan TC telah bekerjasama dengan Guangzhou Automobile Group Malaysia, yang bermaksud bahawa kedua-dua kereta GAC iaitu ICE dan EV berada di bawah satu bumbung di Malaysia.
Pada Mei 2023, GAC dan Warisan TC telah mengumumkan Program Pemasangan lokal CKD bernilai lebih RM60 juta dan ia merupakan program CKD pertama oleh GAC di seluruh dunia. Model pertama adalah GAC GS3 SUV segmen-B yang bakal dilancarkan pada tahun ini.
Berdasarkan model Aion S Plus varian flagship yang telah dilancarkan di China pada Jun 2021, ia berukuran 4,810 mm panjang dan 1,880 mm lebar dengan jarak antara roda 2,750 mm. Dengan kuasa 204 Hp dan 350 Nm, Aion S Plus ini didatangkan dengan spesifikasi motor elektrik tunggal. Ini sudah cukup untuk menggerakkan kereta ini ke 100 km/j dalam masa 6.8 saat.
Sama-sama kita nantikan pelancaran bagi model Aion S Plus ini di Malaysia bagi kenderaan elektrik (EV) dan model-model yang lain dari jenama ini.
Sumber : Paultan